USAHAWAN selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri berkongsi beberapa jawapan berkaitan hubungannya dengan isteri, Datin Seri Nur Shahidah Mohd Rashid di Instagram Story saat ditanya oleh pengikutnya di platform media sosial itu.

Aliff dalam beberapa video yang dikongsikan turut meluahkan perasaannya yang melalui saat-saat ini dengan rasa bahagia.

“Kalau baca betul-betul benda yang tular, bukan saya yang menuntut dan failkan (penceraian). Soalan itu terlalu banyak orang tanya dan tak sangka menjadi tular. Saya lalui apa yang berlaku dan sangat terkejut,” katanya.

Tambahnya, dia juga tidak mahu menjelaskan apa-apa dengan lebih mendalam.

“Saya tak nak klarifikasi. Saya bahagia dan gembira dengan apa yang saya lalui. Saya rasa, tak perlu kutuk-kutuk,” katanya.

Dalam video itu juga, Aliff turut menjawab pertanyaan pengikutnya yang bertanya mengenai wanita lain yang mungkin mengisi ruang hatinya.

“Yang ada sekarang pun baik. Kalau nak berkawan sebagai kawan, bolehlah. Kalau nak lebih-lebih, buat sementara ini mungkin tidak. Lebih baik saya fokus kerja,” katanya.

Ditanya mengenai hubungannya dengan anak-anak, Aliff memaklumkan dia sering bertemu dengan anak-anaknya.

“Saya selalu balik berjumpa dengan anak-anak saya. Seminggu sekali saya akan berjumpa mereka. Mungkin ramai tak tahu sebab saya tak kongsikan semuanya di media sosial,” katanya.

Rabu lalu, Harian Metro melaporkan mengenai penyebaran surat tuntutan cerai yang difailkan Shahidah, sekaligus menguatkan lagi desas desus mengenai berita penceraian jutawan kosmetik itu.

Dalam laporan itu, Aliff dan Shahidah bagaimanapun enggan memberikan ulasan lanjut.