PELAWAK, Man Raja Lawak berkongsi selesai mengagihkan sebahagian wang kemenangan pada program Maharaja Lawak Mega 2019 (MLM 2019), RM50,000 kepada individu memerlukan dalam masa empat hari bermula 31 Mac lalu.

Man atau nama sebenarnya Abd Rahman Kasim berkata, dianggarkan 70 individu dan keluarga mendapat bantuan itu.

“Tak ramai dapat sebab saya tidak tetapkan jumlah bagi setiap penerima. Saya berikan atas permintaan dan melihat kepada keperluan mereka.

“Jumlah paling banyak diberikan RM5,000 iaitu kepada sahabat saya yang memang susah. Dia sakit selepas terjatuh dan koma. Dalam masa sama, isterinya pula tidak bekerja. Jadi, memang sangat memerlukan ketika ini.

“Lagi satu, bantuan ini bukan untuk mereka yang susah saja, tapi kepada golongan pertengahan juga. Sebab, ada antara mereka sepanjang PKP ini tidak ada sumber pendapatan. Bantuan saya lebih kepada bantuan kemanusiaan, bukan harta pusaka,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Man, bantuan sama turut disalurkan kepada beberapa rakan artis dari program Raja Lawak yang kurang berkemampuan.

Malah, Man mengakui sehingga sekarang masih ramai yang menghantar mesej peribadi (DM) di Instagram.

“Tidak dinafikan ada juga rakan artis yang mesej. Tapi, saya dahulukan sahabat yang saya tahu kehidupan mereka macam mana. Saya senaraikan nama mereka dan berbincang dengan isteri.

MAN menerusi status di Instagram mengumumkan bantuan telah habis disalurkan. FOTO IG manrajalawak
MAN menerusi status di Instagram mengumumkan bantuan telah habis disalurkan. FOTO IG manrajalawak

“Mereka ini saya mesej sendiri dan bukan mereka tak minta pun. Sebab mereka tahu ada lagi yang lebih memerlukan untuk dibantu. Tapi, atas dasar kawan dan tahu kehidupan mereka macam mana, saya iklas nak bantu.

“Macam sekarang pun, walaupun peruntukan bantuan sudah habis, masih ada lagi DM dan mesej di Whatsapp. Saya tak tahu siapa yang bagikan nombor peribadi saya. Mungkin ada letak di FB dan kumpulan Whatsapp,” katanya.

Menurut Man, syarat utama bantuan diberikan mestilah melalui DM di IG dengan dilengkapi maklumat seperti jumlah diminta dan nombor akaun.

Terdahulu, Man menerusi status di Instagram mengumumkan menyumbang sebahagian wang kemenangan program Maharaja Lawak 2019 (MLM 2019) sebanyak RM50,000 kepada individu kurang berkemampuan.

Pada MLM 2019 lalu, Man yang menganggotai kumpulan Puteh diumumkan sebagai juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000 berserta trofi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan