RITA Rudaini Fans Club (RRFC) berjaya mengutip RM7,000 dalam tempoh dua hari bagi membantu Pusat Jagaan Mahmudah, Semenyih, Selangor.

Rita, 44, berkata, inisiatif itu dibuat bersama ahli kelab peminat selepas mendapat khabar pusat jagaan warga emas itu terputus bantuan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Saya pernah berkunjung dan membuat aktiviti Lawatan Kasih RRFC. Ketika itu, saya difahamkan pusat jagaan ini memerlukan RM60,000 setiap bulan membabitkan kos mengurus, menyelenggara, ubat-ubatan dan makanan harian penghuni.

“Tapi, sejak PKP dilaksanakan, difahamkan pusat jagaan ini juga turut terjejas. Jadi, kami ambil inisiatif membantu apa yang termampu.

“Kami tidak hebahkan kepada umum, sebaliknya memanjangkan mesej kepada kumpulan WhatsApp yang rapat saja. Siapa nak membantu sangat dialu-alukan,” katanya kepada Harian Metro.

Rita berkata, dalam pada sumbangan terarah kepada golongan susah, ibu tunggal, fakir, gelandangan, orang tua di pusat jagaan juga perlu diambil kira.

“Saya pernah melihat sendiri keadaan dan kehidupan mereka. Ketika itu, masih ada bantuan. Bayangkan dalam keadaan sekarang, mungkin banyak yang sudah terjejas.

“Semoga dengan sumbangan yang ada ini sedikit sebanyak dapat membantu pusat jagaan itu.

 “Bagi yang ingin menyumbang boleh terus berhubung di Instagram Rita Rudaini Fans Club. Insya-Allah, kita sama-sama membantu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan