WALAUPUN pernah aktif dalam kerjaya lakonan suatu ketika dulu, namun kini semuanya dilepaskan dengan rela hati demi keutamaan pada keluarga.

Bukan tidak rindu, tetapi anak-anak yang masih kecil dan ramai menuntut pengorbanan Datin Rabecca Nur Al-Islam Ahmad, 34, untuk melupakan seketika kerjaya seninya.

Apatah lagi, Rabecca juga mengakui semakin selesa dengan karier sebagai usahawan yang diceburinya sejak beberapa tahun lalu dan hingga kini sudah melancarkan lima produk.

Mengulas kerjaya lakonannya, Rabecca berkata, dia sering disogok dengan pertanyaan itu dan jawapan masih sama iaitu keutamaan keluarga menjadi fokusnya sekarang.

“Saya tahu sebelum menceburi perniagaan dahulu, memang aktif berlakon kerana ketika itu pun belum berkahwin lagi. Tetapi, sekarang situasi kehidupan saya sudah jauh berubah.

“Alhamdulillah, saya dikurniakan Allah SWT seorang suami penyayang dan anak yang ramai. Saya bersyukur dengan nikmat ini dan memilih mahu memberi tumpuan sepenuhnya pada keluarga.

“Tawaran berlakon masih ada, tetapi saya tak boleh terima kerana anak-anak. Apatah lagi, jadual berlakon memerlukan saya memberi komitmen pada tempoh penggambaran yang panjang di lokasi,” katanya.

Rabecca berkata, dia juga tidak boleh berjauhan terlalu lama dengan anak kerana cepat berasa rindu.

KEUTAMAAN keluarga menjadi fokus Rabecca. FOTO Amirudin Sahib
KEUTAMAAN keluarga menjadi fokus Rabecca. FOTO Amirudin Sahib

Katanya, hubungan bersama anak-anak juga rapat kerana jarak usia yang dekat.

“Kalau saya keluar berlakon, sudah pasti masa bersama anak dan keluarga tak banyak. Saya tidak mahu keluar bekerja anak masih tidur dan balik dari kerja pula anak sudah tidur.

“Lagipun, masa yang berlalu takkan dapat diulang kembali. Saya tidak bersedia untuk terlepas setiap memori dan kenangan indah melihat anak membesar depan mata.

“Sebagai ibu yang melahirkan, walaupun ada pembantu rumah yang menolong uruskan anak-anak, saya tidak boleh lepas tangan. Anak-anak tetap mencari dan perlukan saya untuk ada masa bersama-sama mereka,” katanya.

Menurut Rabecca, suami juga tidak menghalang sama ada beliau mahu aktif atau sebaliknya dalam kerjaya seni.

Katanya, suami sangat memahami dan sentiasa memberi sokongan.

Rabecca pernah berlakon pada 2017 menerusi drama Awak Suka Saya Tak bersama Emma Maembong dan Alvin Chong terbitan Global Station Sdn Bhd.

Pada Januari 2011, Rabecca bertemu jodoh dengan suaminya, Datuk Nur Azam Sulaiman dan dikurniakan lima anak iaitu Nor Anggun Raverra, 8, Nor Anggerik Renesmee, 7, Nor Aliff Al- Raffael, 4, Nor Ahmed Al- Reaggan, 1, dan Nor Aurora Riana, 1.

Selain itu, Rabecca juga memiliki seorang anak angkat, Nor Adam Daniel, 12, serta dua anak tiri yang masing-masing berusia 24 dan 17 tahun.