MEMANDANGKAN penularan wabak Covid-19 belum dapat dibendung sepenuhnya di negara ini, biar terus duduk di rumah sehingga keadaan kembali pulih.

Bagi pelakon komedi senior, Ebby Yus, 56, keadaan kesihatan lebih penting diutamakan kerana manusia kini ibarat ‘berperang’ dengan wabak.

Ebby berkata, melihatkan pada situasi sekarang, kita semua hanya mampu berusaha menanganinya termasuk berdoa kepada Allah.

“Kalau fikir pendapatan terjejas untuk perbelanjaan hidup memang betul, tetapi apa yang berlaku ini adalah ujian. Saya memilih untuk positif diri.

“Rindu untuk bekerja seperti biasa itu memang ada. Apatah lagi, saya yang menampung hidup kalau kerja, ada bayaran. Tak kerja, faham-faham sendirilah.

“Namun, bersyukur dengan apa yang ada. Saya faham serta sudah biasa hidup sederhana yang tidak semewah dulu ketika memiliki perniagaan restoran,” katanya.

Ebby atau nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata, dia mempunyai wang simpanan bagi kegunaan kecemasan ketika berkemampuan dahulu.

“Saya buat simpanan itu sebagai jaminan masa depan. Namun, dugaan dalam hidup ini, siapa yang tahu. Saya diduga dengan penyakit dan tidak boleh bekerja. Jadi, simpanan digunakan untuk perbelanjaan harian dan rawatan.

“Umpama pepatah ‘bukit kalau ditarah sikit-sikit, lama-lama rata juga’. Saya akur, wang simpanan habis digunakan untuk rawatan kesihatan.

“Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya agak baik sekarang. Saya sudah boleh bekerja walaupun tidak seaktif dulu. Bagi saya, Allah masih memberi peluang untuk bekerja,” katanya.

Berbicara soal karier, Ebby yang tidak bersikap memilih termasuk mempersoalkan bayaran berkata, dia lebih mengutamakan peluang kerja.

“Bayaran itu rezeki dan yakin Allah sudah memberi yang baik. Apapun, menjadi penyampai radio undangan di Negeri FM sejak Januari lalu sangat bermakna buat saya.

“Walaupun gaji saya bergantung pada jika bekerja baru dibayar, saya terima kerana seronok jadi penyampai radio. Banyak yang dapat dikongsi bersama pendengar,” katanya.

Mengenai lakonan, Ebby berkata, tawaran masih ada, tetapi dia perlu meneliti mana yang sesuai.

Katanya, dia tidak boleh terlalu aktif bekerja kerana cepat penat dan sakit.

Apapun, Ebby memaklumkan dia sangat menjaga pemakanannya termasuk memastikan mengikuti jadual rawatan berkala yang sudah ditetapkan doktor.

EBBY akui perbelanjaan hidup terjejas namun akur hadapi dugaan.
EBBY akui perbelanjaan hidup terjejas namun akur hadapi dugaan.