SUDAH terbiasa sibuk dengan kerja di lokasi penggambaran bersama rakan pelakon lain, kini membuatkan Azhan Rani mengakui berasa rindu.

Pelakon berkaliber yang namanya melonjak dengan drama Nur dan Nur 2 di TV3 ini berkata, pergerakan hanya di rumah sangat terbatas.

“Kelapangan masa yang ada memang saya banyak bersembang dengan ibu, melakukan aktiviti siram pokok bunga dan bermain dengan kucing.

“Apapun, saya tak boleh nafikan perasaan rindu bekerja di lokasi penggambaran memandangkan saya ada beberapa projek lakonan,” katanya.

Azhan berkata, dia sebenarnya sudah tidak sabar untuk masuk ke set drama 26 episod akan dibintanginya berjudul Teratak Cinta untuk RTM.

“Jika ikutkan jadual penggambaran diterima, saya akan mula sibuk pada 5 April ini. Namun, memandangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan kerajaan, saya akur.

“Apa yang paling utama, kesihatan dan keselamatan nyawa lebih penting kerana penularan wabak Covid-19 sangat serius dan bahaya,” katanya.

Mengharapkan dugaan besar dihadapi rakyat dan negara ini akan berakhir segera, Azhan berkata hanya doa yang mampu dipohon kepada Allah SWT.

Mengulas tindakan dilakukannya untuk menghilangkan perasaan rindu itu, Azhan berkata dia akan menghubungi rakan pelakon dan pengarah dikenali.

“Walaupun di rumah saya berlatih skrip, tetapi masa yang banyak itu digunakan juga untuk menelefon rakan dan penggiat seni lain untuk bertanya khabar.

“Selain itu, saya juga makin rajin menonton berita di TV selain memantau dan mengemas kini muat naik di media sosial untuk mengikuti perkembangan Covid-19 dari masa ke semasa.

“Terima kasih tak terhingga juga saya ucapkan kepada media yang ketika ini secara berterusan menyalurkan maklumat sahih kepada masyarakat berhubung Covid-19 yang begitu pantas menular” katanya.

Sehubungan itu, Azhan berkata dia berharap rakyat dapat bersabar dan mengikut segala saranan kerajaan untuk bersatu memutuskan rantaian jangkitan wabak bahaya itu.

“Jangan terus berdegil dan duduklah diam-diam di rumah sepanjang tempoh PKP ini. Segala arahan kerajaan itu untuk kebaikan kita semua.

“Ikutkan rasa bosan, saya tak nafikan sangat merasakannya. Tetapi, apa yang boleh buat kerana kesihatan dan keselamatan nyawa lebih utama. Kasihan juga pada doktor dan jururawat di hospital yang bekerja tanpa rehat,” katanya.

Azhan berkata, dalam situasi meruncing sekarang, kerjasama dan bersatu dalam kalangan masyarakat penting untuk membebaskan Malaysia daripada cengkaman penularan Covid-19 yang lebih serius.