PELAKON Remy Ishak mengakui sebak mengenang kesusahan golongan tidak berkemampuan yang hilang sumber pendapatan serta memerlukan bantuan demi kelangsungan hidup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Remy, dia akan berusaha menghulur bantuan dengan pertolongan beberapa pertubuhan amal bagi meringankan beban mereka yang memerlukan itu

“Allahuakbar, sejak PKP dijalankan saya sedar makin ramai rakyat Malaysia melalui kehidupan yang sukar. Hilang sumber pendapatan, hilang rezeki pencarian makan dan minum untuk keluarga tercinta.

“Selepas dua minggu PKP berlalu, saya kerap mendapat emel dan mesej melalui rangkaian media sosial yang memohon bantuan. Yang membuatkan saya menjadi bertambah sedih adalah mereka bukan sekadar memohon bantuan kewangan, malah lebih kepada bahan-bahan mentah dan makanan bagi meneruskan kelangsungan hidup anak-beranak.

“Jumlah mereka yang memerlukan bantuan pada waktu ini terlalu ramai, tak mungkin mampu untuk saya lakukan seorang diri. Jadi saya ada berhubung dengan satu badan bukan kerajaan (NGO) dari Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama,” katanya.

Pelakon filem.Pulang itu juga berharap serta menyeru rakan artis, golongan berpengaruh, dan pengikutnya terus berbakti kepada masyarakat ketika tempoh penuh dugaan sekarang.

“Kepada pengikut yang saya kasihi, rakan-rakan dalam industri hiburan tanah air, mahupun ‘influencer’ di media sosial, serta anda yang berkemampuan pada waktu ini yang ingin turut serta bersama-sama saya membantu, bolehlah memberi sumbangan.

“Terus bertahan dan bersabar. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita, memudahkan urusan dunia dan akhirat buat kita semua, dan menemukan kita semua di syurga firdaus.,” katanya.

Sehubungan itu, Remy turut menyertakan info untuk saluran bantuan berkenaan di Instagramnya buat sesiapa yang berhajat berbuat demikian.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan