RUPA-rupanya ramai tidak tahu penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat pernah menyertai program realiti Akademi Fantasia musim ke-9 (AF9) pada 2011.

Bagaimanapun, Ayda meninggalkan program realiti nyanyian popular itu lebih awal apabila tersingkir pada minggu ketiga.

Ayda berkata, memandangkan ramai tidak tahu dia lahir dari AF, dia tampil berkongsi sebab kenapa namanya tidak terpahat dalam memori ramai.

Menurut Ayda, ramai yang bertanya di Twitter adakah dia pernah menyertai AF atau tersingkir lebih awal kerana mereka tidak pernah tahu dia ada menyertai program itu.

“Ya. Akademi Fantasia 9, tahun 2011. Dikeluarkan dari AF9 sebab buat persembahan macam baru keluar dari tandas. Biasa-biasa, entah apa-apa. Dulu bila keluar lagu Menuju Puncak, mesti rasa nak terkencing,” tulisnya di Instagram.

Menurusi hantaran itu, Ayda memuat naik video dia menyanyi dan menari lagu rasmi AF, Menuju Puncak bersama pelajar-pelajar AF9.

Menurut Ayda, walaupun gagal menjenamakan diri dalam program itu, dia tidak pernah berhenti berusaha.

“Ternyata apa yang Allah atur itu tepat. Yang pasti buat anda, memang pasti untuk anda. Jangan berhenti usaha. Biar terkeluar dan kalah awal. Dari bawah kita belajar dan kekal. Tanpa disangkal,” tulisnya.