SELEPAS menyumbangkan sebahagian gaji bulan Mac untuk membantu insan memerlukan, kini pengacara dan penyampai radio Era, Radin mengambil inisiatif menjual 20 koleksi kasut sukan ternama miliknya melalui projek lelongan amal.

Radin berkata, seratus peratus hasil daripada lelongan itu akan disalurkannya terus kepada membantu petugas barisan hadapan dan golongan kurang bernasib baik.

“Sebenarnya ramai yang tanya dan berhasrat untuk membeli koleksi kasut yang saya miliki itu. Jika diikutkan, saya mempunyai lebih 200 koleksi kasut peribadi kesayangan yang dibeli sendiri hasil duit poket dikumpul.

“Ada kasut yang saya dah pakai, ada juga belum lagi dan masih terlekat tanda harganya. Jadi daripada terus terbiar dan rosak, saya fikir lebih baik membuat lelongan amal untuk membantu membeli keperluan asas seperti pembasmi kuman dan topeng penutup hidung dan mulut untuk petugas barisan hadapan.

“Walaupun sedar duit bukan senang nak cari, tapi saya percaya ini adalah salah satu cara untuk memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Saya juga ingin membantu mereka yang terkesan dan kehilangan punca pendapatan untuk diri sendiri serta ahli keluarga,” katanya.

Menurut Radin, lelongan amal itu akan diadakan pada hari ini menerusi siaran langsung di Instagram.

RADIN menjual koleksi kasutnya di platform Instagram. FOTO ihsan Instagram
RADIN menjual koleksi kasutnya di platform Instagram. FOTO ihsan Instagram

“Bukan hanya lelongan amal tapi saya juga buat kuiz yang menawarkan hadiah berupa wang bermula dari RM10 hingga RM100. Wang kemenangan itu, boleh dipilih sama ada pemenang mahu dikreditkan ke akaun terus atau disalur untuk membeli barangan keperluan petugas barisan hadapan.

“Sebanyak RM500 akan diperuntukkan untuk hadiah kuiz, manakala lelongan harga kasut bermula separuh harga dari jumlah sebenar.

“Jujur, sebenarnya saya tak sangka inisiatif dilakukan ini mendapat maklum balas positif daripada orang ramai. Memang dah tak sabar nak bersama peminat malam ini untuk menjual koleksi kasut kesayangan saya,” katanya.