“ALLAHUAKBAR. Apabila jururawat, Kak Zue beritahu hasil ujian saya negatif, menggeletar satu badan. Syukur sangat,” kata pelakon Puteri Aishah mengenai ujian swab kedua yang dibuat awal pagi, hari ini memberikan hasil negatif Covid-19.

Puteri Aishah berkata, dia sudah dibenarkan keluar hospital hari ini selepas 11 hari dirawat di Hospital Sungai Buloh akibat jangkitan Covid-19.

Puteri Aishah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang tidak berhenti mendoakan kesihatan dirinya.

“Alhamdulillah saya bersyukur. Selepas 11 hari dalam wad, jam 12 tengah hari saya menjalani ujian swab kedua. Saya kemudian dimaklumkan ujian itu negatif dan bebas Covid-19.

“Saya berjaya lawan Covid-19. Terima kasih semua sebab doakan saya dan terima kasih yang teramat sangat kepada semua jururawat dan doktor yang menjaga dan rawat saya selama di sini. Saya sangat hargainya,” katanya.

Puteri Aishah disahkan positif wabak itu selepas pulang dari menjalani penggambaran drama Demi di Inverness, Scotland pada 7 April lalu.

 

  • Lagi berita berkaitan Covid-19