PENDAKWAH bebas dan pelakon, PU Riz menangis apabila disahkan negatif dan bebas wabak Covid-19 hari ini selepas dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail berkata, perkara itu dimaklumkan jururawat selepas hasil ujian swab kedua yang dibuat semalam diterima petang tadi.

“Syukur pada Allah apabila disahkan sembuh dan boleh pulang. Saya menangis ketika dimaklumkan negatif. Bukan apa, wabak ini boleh membawa maut dan ibaratnya ini peluang kedua yang Allah berikan.

“Sepanjang dirawat, jururawat sentiasa memberikan kata-kata semangat dan minta supaya sentiasa berfikiran positif.

“Malah, ada jemaah tabligh pesan, yakin Allah ada dengan kita. Saya berdoa pada Allah semoga terus istiqomah sampai hujung nyawa,” katanya kepada Harian Metro.

Riz yang disahkan positif wabak itu pada 6 April lalu berterima kasih kepada doktor dan jururawat yang merawat dan membantu dirinya.

“Kepada doktor dan jururawat, Allah saja membalas jasa mereka. Mereka banyak bantu saya untuk keperluan. Kalau ikutkan tugas mereka lagi berisiko tinggi,” katanya.

Menurut Riz, dia akan menjalani proses kuarantin diri selama dua minggu.

“Sekarang saya kena menjalani kuarantin diri selama dua minggu di rumah. Selepas itu saya perlu pergi klinik kesihatan berdekatan untuk mengesahkan sudah menjalani kuarantin selepas bebas dari wabak ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19