PENDAKWAH bebas yang juga bekas peserta program Pencetus Ummah (PU) Abu Sufyan, 26, mahu membuka fasa baru dengan bertekad untuk fokus memperbaiki kehidupannya selepas ini.

Abu atau nama sebenarnya Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi berkata, dia mahu memperbaiki hubungannya dengan Allah dan sesama manusia.

Dia juga berharap netizen atau masyarakat boleh memberinya peluang untuk menjadi insan yang lebih baik.

“Semua manusia tak terlepas dari membuat silap dan saya pun manusia. Saya masih ada keluarga serta bapa dan akan hidup bersama mereka selepas ini,” katanya yang masih aktif mengadakan sesi ceramah.

Bagaimanapun, Abu enggan mengulas mengenai penceraian dengan bekas isterinya Hana Azraa.

Hana atau nama sebenarnya Nurhannah Azra Mohd Zakir sebelum ini tampil membuat penjelasan dan mengesahkan berita penceraian mereka menerusi Instagram.

Abu dan Hana mendirikan rumah tangga pada Mei tahun lalu dan dikurniakan cahaya mata bernama Muhammad Uwais Al-Mateen pada 1 Februari.

Sebelumnya, dia pernah mendirikan rumah tangga bersama Ain ‘Afini namun hubungan mereka terlerai pada 16 Mei 2019 apabila diceraikan dengan talak dua.

Hana juga pernah mendirikan rumah tangga sebelum perkahwinan bersama Abu. Menerusi perkahwinan pertamanya itu, dia dikurniakan seorang anak perempuan, Afifah Aisyah yang kini berusia empat tahun.