PENYANYI dan penyampai radio, Danial Zaini meminta netizen supaya berhenti melaga-lagakan sesama rakan artis dan mengaitkan lagu baru nyanyiannya bersama Santesh dan Noki K-Clique berjudul Poyo ditujukan kepada rakan artis.

Dalam video yang dimuat naik ke Instagram itu, Danial yang juga juara program realiti Lawak Solo berkata, lagu itu sudah dicipta sejak tahun lalu tetapi baru dilancarkan semalam.

“Kepada netizen, sila berhenti melaga-lagakan kami sesama rakan artis. Lagu Poyo nyanyian saya, Santesh dan Noki tak ada kena mengenai langsung dengan mana-mana artis.

“Lagu itu kami dah buat sejak tahun lalu. Jadi, tak ada isu yang kami ‘membahan’ sesama kami (artis) dalam industri seni ini,” katanya.

Video itu dimuat naik selepas pihaknya menerima beberapa komen daripada netizen yang menganggap lagu Poyo adalah untuk menyindir beberapa rakan artis yang mengeluarkan kenyataan berkaitan sumbangan untuk golongan artis, baru-baru ini.

Poyo adalah hasil ciptaan komposer, Mr Yin manakala liriknya tulisan Mr Yin, Danial dan Noki.