KEPUTUSAN Persatuan Pempamer Filem Malaysia (MAFE) melanjutkan tempoh penutupan pawagam sehingga hujung bulan ini disambut positif beberapa penerbit filem.

Mereka akur tindakan ini dibuat bagi memastikan kesihatan, kebajikan pelanggan, pekerja serta masyarakat dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Pengarah Urusan Skop Productions, Datuk Yusof Haslam berkata, dia akur kerana nyawa manusia sejagat lebih utama berbanding perkara lain.

“Walaupun ekonomi sejagat terjejas teruk kerana Covid-19, kita perlu melihat dari sudut nyawa manusia. MAFE bertindak atas arahan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kita harus akur,” katanya.

Menurut Yusof, Skop Productions terpaksa menangguhkan tayangan dua filem mereka iaitu Abang Long Fadil 3 dan Polis Evo 3 arahan anaknya, Syafiq Yusof.

“Filem yang sepatutnya ditayangkan pada Julai dan September tahun ini ditunda tayangan kepada tahun hadapan. Kami bekerjasama dengan Astro Shaw dan filem ini membabitkan pelaburan yang besar. Penggambaran dibuat pada 2019 dan antara filem yang menggunakan kos tinggi daripada kebiasaan. Apapun, kami anggap ini sebagai ujian Allah dan impaknya dirasai di seluruh dunia,” katanya.

Pengarah filem Escape, Ikhwansha Hazer mewakili produksi Dreamland Productions Sdn Bhd dan DMY Creation mengakui sedikit kecewa kerana perancangan yang disusun terpaksa ditangguhkan.

“Apapun kita kena hormat keputusan KKM kerana mereka lagi  pakar berkenaan hal-hal keselamatan kesihatan. Cuma, saya harap Covid-19 ini akan segera pulih dalam masa terdekat dan tiada lagi kes baru.

“Apabila tiada kes baru, mungkin semua orang sudah berani buat aktiviti seperti biasa dan tiada lagi sekatan untuk orang berkumpul,” katanya.

Ikhwansha mengharapkan filem Escape ditayangkan tahun ini kerana peminat sudah tahu mengenainya.

“Saya bimbang kalau tahun depan, nanti hilang keseronokan dan seri filem ini dalam penonton. Namun saya tak setuju sepenuhnya jika pawagam dibuka tapi orang ramai masih takut nak datang. Tiada gunanya pun.

“Yang penting sekarang kita kena fokus dan bersatu dalam menangani Covid-19. Ikut saranan kerajaan untuk “Stay at Home” dan “Social Distancing” supaya tiada lagi yang berjangkit dan kes baru,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nizra Entertainment, Nik Iruwan Nik Izani yang menerbitkan filem Bulan & Pria Terhebat berkata, Covid-19 adalah sesuatu yang bukan normal pernah terjadi.

“Ia sangat rumit untuk diatasi. Penonton bimbang untuk ke pawagam dan apa yang berlaku membuatkan industri filem kita sedikit terbantut. Tapi kita kena terima dengan hati terbuka. Saya boleh tunggu untuk filem kami ditayangkan semula pada masa yang tepat.

“Ini kerana filem yang baik perlukan sokongan penonton di pawagam. Saya akui situasi sekarang tak mengizinkan,” katanya.

Menurutnya, rakyat perlu diberi ruang untuk memilih masa yang sesuai untuk keluar menonton.

“Jika BPT perlu ditayangkan pada tahun depan pun, ia satu keputusan yang bagus. Fikirkan cerita-cerita besar dari Hollywood pun ambil masa untuk ini. Kita kena sabar dan ambil keputusan yang terbaik untuk semua. Kalau tengok sekarang aspek digital boleh buat duit pula. Tapi kenalah lihat juga adakah sesuai untuk kita sebagai penerbit buat filem untuk platform digital. Namun kalau dilihat, banyak filem yang menggunakan kos tinggi menjana keuntungan menerusi tayangan di pawagam,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19