“IKUTKAN, memang ada kesal juga kerana saya balik ke bilik sewa ini semalam hanya untuk ambil bahan rakaman program dalam ‘hard disk’ tetapi terus ‘terperangkap’ di sini.

“Paling sukar, saya tiada bekalan makanan dan ubat-ubatan di bilik ini. Ketika turun nak membeli barang, saya tak boleh keluar dan seluruh kawasan sudah dipasang kawat berduri dan dikawal pihak berkuasa,” kata pelakon drama Keluarga Iskandar, Mohd Sobri Anuar Tarmizi.

Mohd Sobri, 43, kini terpaksa berkurung di bilik sewanya di bangunan Selangor Mansion, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di situ, bermula semalam.

Perlaksanaan PKPD ke atas Bangunan Selangor Mansion dan Bangunan Malayan Mansion dibuat berikutan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat 15 kes positif jangkitan Covid-19 di kawasan berkenaan.

Mohd Sobri yang masih bujang ketika dihubungi berkata, dia balik ke bilik sewa itu sekali- sekala kerana menetap bersama ibu bapanya di Klang, Selangor.

“Disebabkan nak ambil ‘hard disk’ untuk menyiapkan bahan kerja saya, akhirnya perlu reda berhadapan situasi ini. Ujian yang sudah tertulis buat saya. Memang tak sangka dan saya pun demam sekarang. Selain itu, saya juga ada rasa sakit dada sedikit,” katanya yang turut bimbang dengan tahap kesihatannya terutama simptom wabak Covid-19.

Bagaimanapun, dia lega kerana pihak KKM menghantar pasukan perubatan ke kawasan itu sekitar jam 1.30 petang hari ini membuat pemeriksaan saringan bagi mengesan penghuni bergejala wabak berkenaan.

“Selepas sampel diambil, saya cuba positifkan diri dan berharap ia demam biasa dan tidak mahu terlalu berfikir negatif. Apatah lagi, ibu bapa dan keluarga memberi saya semangat. Malah, ramai juga rakan artis menghubungi saya untuk memberi kata-kata positif dan minta banyak berdoa dalam berhadapan situasi berat ini,” katanya yang juga bekas peserta Maharaja Lawak Mega bersama kumpulan Bawal Power.

Mohd Sobri berkata, dia bersyukur pihak KKM sudah menghantar pasukan perubatan datang ke kawasan bangunan itu untuk melakukan ujian saringan semua penghuni terbabit.

“Kini, saya cuma berdebar menunggu keputusan yang akan diterima nanti dan berharap dapat mengetahuinya secepat mungkin untuk rawatan awal. Namun, harapan saya semoga kesihatan okay dan gejala dialami ini hanya demam biasa. Mohon doakan yang baik-baik saja,” katanya.

Mengulas kerjayanya, Mohd Sobri berkata, dia sekarang dalam proses menyiapkan kerja suntingan untuk program Cit Cat Ustaz dihoskan Pencetus Ummah (PU) Riz sebanyak 26 episod untuk ditayangkan Awesome TV.

“Saya sebenarnya sibuk dengan kerja belakang tabir sejak tahun lalu dan bertindak sebagai penerbit program Cit Cat Ustaz untuk Awesome TV yang dijangka dilancarkan tidak lama lagi. Berlakon pun saya masih ada tawaran lagi,” katanya.

Mohd Sobri juga sangat berterima kasih kepada rakan yang sudi menghantar bekalan makanan dan ubat-ubatan kepadanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19