RAPPER, penyanyi dan penari, Fariz Jabba bekerjasama dengan penerbit dan rapper, omarKENOBI untuk kali pertama dalam lagu Kalah.

Ia susulan daripada lagu Masa nyanyian Fariz yang pernah mencatat 2.5 juta penstriman di Spotify dan hampir 1.5 juta tontonan di YouTube.

Malah, kemunculan lagu Kalah juga diharap bakal mengulangi kejayaan dicapai itu.

Menurut Fariz, 23, yang berasal dari Singapura itu, mesej yang ingin disampaikan dalam lagu Kalah sangat jelas yang mana kedua-dua mereka tidak akan mengalah.

“Apabila Masa dilancarkan, saya mula mengubah haluan muzik untuk tidak terbatas kepada rap sahaja. Kejayaan lagu itu menamatkan semua keraguan yang pernah wujud mengenai bakat nyanyian dimiliki.

“Justeru, lagu Kalah pula dilihat menguatkan lagi pegangan artistik saya dalam berkarya yang mana kemantapan paduan suara digabungkan bersama keyakinan diri yang tinggi.

“Kami juga memutuskan tidak akan berfikir dua kali mengenai perasaan ketika menulis lirik lagu ini. Jadi, jika lirik yang kedengaran seperti mengarut dan lucu dalam lagu ini adalah pemikiran saya yang paling jujur,” katanya.

Menurut Fariz, keyakinan diri tidak mudah diperoleh melainkan melalui cara artis menangani masalah ketika bekerja dan dalam kehidupan seharian.

“Tidak kira berapa banyak masalah yang timbul, kekalahan bukan pilihan. Saya tidak akan menyerah kalah,” katanya yang bernaung di bawah Def Jam South East Asia sejak tahun lalu.

Fariz mempunyai pengalaman bekerjasama dengan Gucci, Tommy Hilfiger, Hugo dan dia juga sebahagian daripada ahli keluarga Nike.

omarKENOBI selaku penerbit dan rapper bagi lagu ini mencipta ‘beat’ Kalah di studio rumahnya bersama Fariz.

Trek hip hop berinspirasikan Trap ini dicipta berdasarkan kebebasan artistik yang tidak tersasar dari tujuan asalnya.

“Apa yang bermula sebagai satu lagu yang menghiburkan untuk Fariz dan saya ternyata menjadi sesuatu yang lebih besar.

“Mencipta lagu ini adalah salah satu pengalaman menghiburkan yang tulus dan saya sangat teruja ketika mengetahui lagu ini mendapat kelulusan untuk dilancarkan,” katanya.

Lagu Kalah adalah solo kedua bagi omarKENOBI yang pernah tampil dalam lagu nyanyian Sam Rui, Emir Hermono dan Fauxe.

Lagu yang diintegrasikan dan dicipta berdasarkan daya kreativiti serta artistik hebat oleh kedua-dua rapper ini pasti membuat pendengar merasai ketulusan dan ketelusan mereka seperti kata pepatah Melayu ‘apa tampangnya itulah tumbuhnya’ dan tumbuhnya adalah lagu yang terbaik.

omarKENOBI mula berkecimpung dalam bidang rap pada 2013 bersama kumpulannya Crew Haircut Mediocre.

Sejak itu, dia tampil membuat persembahan di beberapa festival muzik dan acara utama di dalam dan sekitar Asia Tenggara termasuk kemunculan di Festival St Jeromes Laneway, Festival Jazz Antarabangsa Singapura.