PELAKON dan penerbit drama Bukan Gadis Biasa, Sheila Rusly tidak marah atau sakit hati apabila dikecam oleh penonton berikutan beberapa babak ‘kasar’ lakonannya sebagai Opah Aminah, yang mendera Rayyan lakonan Aliff Amierul Asif (zaman kanak-kanak) dan Remy Ishak (zaman dewasa).

Sheila berkata, itu memang menjadi tujuannya, bagi memastikan perwatakan Opah Aminah dibenci bukan sahaja oleh Rayyan, tetapi juga penonton yang menonton.

“Ramai yang kecam, tapi saya tak kisah sebab dah biasa membawakan watak antagonis. Saya dah memang bersiap sedia.

“Penonton kadang-kadang tak faham dan mereka ingat, saya sengaja nak menunjal kepala pelakon. Tapi, sebenarnya, saya nak wujudkan kebencian dalam diri ‘Rayyan’ yang didera sejak kecil oleh Opah Aminah,” katanya.

Jelasnya lagi, kalau dia sekadar berlakon ala kadar untuk menjayakan karakter antagonis itu, tentunya ia tidak akan memberikan sebarang impak.

“Kalau nenek tak memperlakukan cucunya sebegitu teruk, bagaimana Rayyan nak membenci Opah Aminah? Bayangkan, dia dan ibunya dianiaya sehingga ibunya meninggal dunia.

“Itu sebabnya bila dewasa, dia benci sangat dengan Opah Aminah sampai tak mahu ambil tahu mengenainya melainkan jika neneknya mati dilanggar bas atau dipanah petir,” katanya.

Sheila berkata, apa yang dipaparkan di kaca TV hanya 30 peratus sahaja.

“Lagi 70 peratus sudah dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) kerana ‘penderaan’ yang sangat teruk. Kalau tidak, penonton akan rasa lebih benci lagi dengan Opah Aminah,” katanya.

DRAMA Bukan Gadis Biasa merupakan yang terakhir lakonan Sheila sebelum dia berehat seketika dalam lakonan.
DRAMA Bukan Gadis Biasa merupakan yang terakhir lakonan Sheila sebelum dia berehat seketika dalam lakonan.

Bagi menjayakan karakter itu, Sheila mendapat sentuhan solekan kesan khas daripada jurusolek Nissa Khan dan prosesnya memakan masa selama tiga jam setiap kali penggambaran.

“Untuk pakai solekan saja ambil masa tiga jam dan untuk menanggalkannya, makan masa lebih dua jam. Setiap kali penggambaran, saya boleh bertahan maksimum selama enam jam dan kalau terlalu lama, solekan itu akan ‘pecah’,” katanya.

Ini juga menjadi drama terakhir lakonan Sheila sebelum dia berehat daripada dunia lakonan.

“Selepas ini, Insya-Allah saya akan berehat daripada lakonan buat seketika. Jadi, untuk karya terakhir ini saya beri komitmen sepenuhnya dan sajikan kelainan buat penonton.

“Jadi, biarlah kalau orang berikan maklum balas berbentuk kecaman sekali pun kerana sekurang-kurangnya, saya tahu ramai yang menonton Bukan Gadis Biasa. Kalau orang tak tengok, saya pula akan rasa terkilan,” katanya.

Selain Sheila dan Remy, Bukan Gadis Biasa juga dibintangi oleh Ayda Jebat, Nazim Othman, Ozlynn Waty, Mas Khan dan ramai lagi.

Selain itu, Sheila juga berkata, dia bersyukur kerana aturan Allah itu semuanya tersusun rapi.

“Kalau tahun-tahun sebelum ini, setiap kali menjelang Ramadan saya akan muncul di kaca TV dengan program Ketuk Ketuk Ramadan. Jadi, tahun lalu menjadi penerbitan terakhir program itu.

“Bayangkan, kalau ia diteruskan, tentunya akan ada masalah memandangkan penggambaran tidak dapat dibuat kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi saya bersyukur kerana Allah dah susun semuanya dengan baik,” katanya.

Sheila mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada penonton yang meluangkan masa menonton drama Bukan Gadis Biasa yang ditayangkan di slot Akasia TV3 mulai 23 April lalu.

“Terima kasih kepada yang menonton dan memberikan maklum balas. Ini adalah karya kami buat anda semua sepanjang Ramadan ini,” katanya.