PENYANYI Nizam Laksamana melakukan kerja amal dengan cara tersendiri apabila membantu menjual maruku milik seorang wanita yang berdepan kesulitan dalam hidup.

Nizam berkata, selain menyukai keenakan maruku itu, dia mahu menjualnya bagi meringankan beban wanita terbabit yang terpaksa menanggung keluarga berikutan suaminya mengalami masalah jantung.

“Semuanya bermula pada Aidilfitri tahun lalu apabila isteri saya, Salwati Zulkifli ternampak maruku ini dijual di sebuah kedai dan membelinya dalam jumlah yang banyak. Dia kemudian menjamu saudara-mara untuk merasai maruku ini dan semuanya kata sedap. Ini mendorong isteri membeli lagi maruku ini.

“Kemudian dia berjaya mendapat nombor telefon wanita ini dan terus menghubunginya. Hasil perbualan mereka, wanita ini beritahu dia menjual maruku bagi menambah perbelanjaan keluarga,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit turut memaklumkan suaminya mengalami masalah jantung yang memerlukan rawatan berterusan dan tidak dapat bekerja.

“Mereka juga ada anak-anak yang perlu ditanggung. Semuanya perlukan kos yang tinggi. Isteri saya minta kebenaran jual dengan konsep membantu dan dipersetujui wanita ini. Selepas itu kami mula buat penjenamaan letakkan nama Maruku Lejen dan mula menjualnya. Harganya hanya RM13 kerana niat kami memang untuk bantu dia. Kami hanya ambil kos petrol sahaja,” katanya.

Penyanyi lagu Gugurnya Bunga Cinta ini bersyukur terhadap sambutan yang diterima terhadap penjualan Maruku Lejen.

“Alhamdulilah makin banyak tempahan diterima termasuk dari luar kawasan. Namun saya hanya dapat hantar di sekitar Lembah Klang memandangkan kita kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ada juga permintaan pembeli dari Sarawak tapi dalam situasi sekarang, saya berat hati nak melakukan penghantaran kerana pasti lambat sampai.

“Untuk pembeli sekitar Lembah Klang, saya sendiri menghantar dengan kereta. Pembeli rasa puas bercampur gembira dapat bergambar dengan saya. Ada juga yang bayar lebih kerana terharu saya yang hantar sendiri,” katanya.

Nizam tidak kisah terpaksa meredah hujan lebat, berdepan kesesakan jalan raya serta sekatan jalan raya sepanjang melakukan kerjaya barunya ini.

“Ini satu perjuangan dalam menempuh kesulitan. Rezeki mesti dicari. Tempoh PKP lama dan kita harus bersedia. Saya tak malu buat kerja ini. Apa nak malu kalau ia rezeki. Niat saya nak bantu insan ini cari rezeki dan dalam masa sama dia bagi rezeki pada saya,” katanya.

 

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan