“KENAPA pula saya nak seleweng duit orang bagi derma? Malah, saya juga guna duit sendiri bantu mereka yang memerlukan,” kata pelakon, Intan Najuwa selepas segelintir pengikut di Instagram mempertikaikan tindakannya menggunakan akaun bank sendiri bagi tujuan kutipan derma.

 

 

Intan, 23, atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abdul Wahid ketika dihubungi berkata, dia berasa sedih apabila niat baik itu disalah anggap orang. 

Intan yang juga pelakon Ironi Kasih yang sedang ditayangkan di TV3 berkata, kebanyakan yang minta derma melalui mesej peribadi (DM) di Instagram. 

“Duit yang didermakan memang disalurkan ke tempat betul bagi membantu mereka memerlukan. Lagipun, sebelum ini saya pernah buat perkara sama. 

“Dari situ, ada yang DM dan sama-sama nak tolong tapi tidak tahu nak buat macam mana. Disebabkan itu, saya buka dan hebahkan di Instagram. Dalam masa sama, saya juga ada pekerja yang boleh bantu agihkan bantuan ini,” katanya kepada Harian Metro. 

Menurut Intan, dia berjaya mengutip RM4,000 hasil sumbangan orang ramai sejak dibuka semalam selain sumbangan peribadinya sebanyak RM10,000.

Sumbangan itu ditutup hari ini bagi membolehkan dia membelanjakan wang itu bagi membeli barangan keperluan harian.

“Sejak semalam saya sudah buat pemindahan ke akaun penerima menggunakan duit sendiri. Hari ini, saya pergi membeli barangan keperluan pula.

“Bagi penerima yang tinggal berdekatan atau sekitar Kuala Lumpur, saya akan pergi berikan sendiri. Bagi yang jauh seperti di Johor, saya minta pekerja tolong agihkan.

“Kebanyakan yang DM adalah ibu yang memiliki anak kecil dan memerlukan susu dan lampin pakai buang. Lebih tersentuh, apabila mereka menghantar gambar barang yang dibeli hasil sumbangan itu,” katanya yang menerima ratusan DM yang memohon bantuan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan