PENGACARA dan pelakon Neelofa bersyukur dapat berkongsi doa harian, tip fahami erti bacaan dalam solat termasuk perkara ilmiah sempena Ramadan ini kepada lebih 71,000 orang yang menyertai kumpulan Telegram kendaliannya.

Dilancarkan minggu lalu, Neelofa atau nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor berkata saluran yang diuruskan sendiri itu diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua umat Islam.

“Saluran Telegram ini diwujudkan kerana sambutan Ramadan kali ini sangat istimewa berbanding sebelumnya.

“Kali ini, kita menyambut Ramadan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kebanyakan daripada kita tidak dibenarkan keluar daripada kediaman. Justeru, kita manfaatkan masa yang ada dengan perkara berfaedah.

“Jika dahulu kita tidak sempat, sekarang Alhamdulillah. Ini antara keindahan Ramadan kali ini,” katanya.

Menurut Neelofa, antara perkongsian lain menerusi saluran Telegram itu termasuklah cara memahami dan mengingati bacaan dalam solat, doa harian, ayat suci al-Quran dan video ceramah agama.

“Selama ini ramai yang bertanya kepada saya, apakah amalan doa harian dan surah apakah yang menjadi kegemaran. Saya cuba berkongsi di Instagram Stories, tetapi disebabkan limitasi durasi, perkongsian menjadi terbatas. Kalau terlalu banyak yang dikongsi, takut orang jemu dan tak baca (skip).

“Jadi dengan saluran Telegram ini, saya lebih bebas untuk berkongsi apa sahaja yang bermanfaat, asalkan tidak meyimpang. Saya harap, perkongsian ini dapat dimanfaatkan pada keadaan sukar seperti sekarang,” katanya.

Saluran Telegram itu boleh diakses secara percuma dengan mencari kata kunci Neelofa di ruangan carian.