PENYANYI dan pelakon Siti Nordiana Alias atau Nana, 36, redha apabila anak lelaki tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie Mohd Faizal, 12, tidak dapat menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini kerana dibatalkan.

Nana berkata dengan penularan pendamik Covid-19 dalam negara sekarang, dia akur Kementerian Pendidikan (KPM) sudah membuat keputusan yang tepat.

“Memang Rayyan sepatutnya ambil UPSR pada tahun ini, tapi dibatalkan kerana negara masih berjuang untuk memerangi Covid-19. Bagi saya, kini keselamatan dan kesihatan lebih penting.

“Bahkan, dengan apa yang berlaku ini, saya melihat kita semua hanya mampu merancang dan Allah SWT yang mententukan segalanya. Saya redha dan yakin pasti ada hikmah di atas semua ini,” katanya.

Nana berkata apa yang pasti walaupun sekarang sekolah ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, anaknya masih menjalani aktiviti pembelajaran seperti biasa di rumah.

“Guru-guru di sekolah Rayyan tetap akan memberi pelbagai latihan soalan untuk disiapkan di rumah. Alhamdulillah, aktiviti pembelajarannya tidak terputus.

“Hingga kini, bermacam-macam soalan peperiksaan dihantar secara dalam talian (online) untuk Rayyan siapkan dan syukur masa yang banyak di rumah dapat diisi dengan sebaiknya.

“Justeru, tiada istilah tak dapat belajar kerana PKP. Pada era teknologi kini, aktiviti pembelajaran tetap dapat dilakukan walaupun perlu duduk berkurung di rumah kerana negara berhadapan musibah,” katanya.

Menurut Nana, sebagai ibu dia memang teruja menantikan Rayyan menduduki UPSR tahun ini. Apatah lagi, anak tunggal dalam keluarga yang menjadi harapan besarnya.

“Apa- apapun, tak apalah UPSR dibatalkan. Bagi saya, pasti ada hikmahnya. Segala apa pun, saya terima dengan redha dan baik-baik saja,” katanya.

Nana pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Allahyarham Faizal Yusof pada April 2006 dan dikurniakan Rayyan pada Mac 2008, sebelum bercerai pada September 2009.

Terdahulu, pada 15 April lalu, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin mengumumkan peperiksaan UPSR dan Pentaksiran Tingkatann 3 (PT3) 2020 dibatalkan.