MESKIPUN masih disogok dengan watak pembantu dalam kebanyakan drama dibintanginya, pelakon Shahkimin, 31, akui tidak berasa kecewa.

Bagi pemuda dari Kelantan ini, setiap watak pembantu dilakonkan itu memiliki kekuatan tersendiri.

Justeru, permainan karekter berkenaan mengingatkan penonton pada pelakonnya.

“Saya okay saja melakonkan watak pembantu kerana setakat ini kebanyakan penonton boleh ingat saya melalui peranan karakter dimainkan.

“Macam dalam drama Kampung People di TV3, watak penduduk kampung bernama Ismail yang saya lakonkan turut diingati penonton.

“Dari segi nama pentas saya iaitu Shahkimin mungkin orang tak kenal sangat, tapi untuk watak biasanya akan diingati,” katanya.

Pemilik nama sebenar Mohd Shahrul Hakimi Mohamad Amin ini berkata, dia pun tidak kisah jika orang menegurnya dengan menyebut nama watak dilakonkan.

“Macam saya berlakon filem Langsuir arahan Osman Ali pada 2017, pernah juga melekat orang panggil dengan nama Udin.

SHAHKIMIN tak kisah lakon karakter pembantu dalam kebanyakan drama dibintangi
SHAHKIMIN tak kisah lakon karakter pembantu dalam kebanyakan drama dibintangi

“Begitu juga ketika saya melakonkan watak David, ahli perniagaan Cina dalam pementasan teater Semarak Pertiwiku di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada Februari lalu, melekat juga orang panggil dengan nama itu.

“Saya terima dengan lapang dada dan penuh syukur kerana sekurang-kurangnya penonton nampak juga bakat lakonan dipersembahkan,” katanya.

Berbicara mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tiadanya bazar Ranadan, Shahkimin berkata, secara tidak langsung dapat berjimat serta keselamatan pun terjamin.

“Sekarang negara dilanda penularan wabak bahaya yang mengancam nyawa, jadi teruskan saja duduk di rumah seperti diarahkan kerajaan.

“Untuk bazar Ramadan pula, saya yang hidup bujang ini masak saja menu ringkas buat berbuka. Tak pergi ke bazar Ramadan pun okay,” katanya.

Sudah lebih dua tahun aktif dalam lakonan, Shahkimin pernah membintangi drama seperti Sejuta Rasa Buat Adelia, Hilang Akal, Isteri Bukan Untuk Disewa, Satu Hari Satu Ketika, Geng Surau dan banyak lagi.

Turut memiliki kemahiran bahasa iaitu fasih bertutur dalam Mandarin Shahkimin juga sering mendapat peluang berlakon iklan komersial di TV.

Mendapat restu keluarga menceburi kerjaya seni, Shahkimin berkata, dia turut bersyukur hingga kini namanya bebas gosip dan cerita sensasi yang boleh menjatuhkan reputasi.