PENYANYI Naim Daniel mencabar dirinya untuk mencipta satu lagu sehari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Naim berkata, setakat ini dia sudah mencipta 17 lagu merangkumi pelbagai topik mengenai isu semasa terutama berkaitan PKP dan pandemik Covid-19 seperti roti sukar didapati, Makcik Kiah dan sebagainya.

Selain itu, dia turut ‘menjentik’ golongan yang digelar ‘Kluster Kayangan’ berikutan reaksi negatif mereka terhadap kerajaan ketika menjalani kuarantin.

“Saya lihat ramai yang meluahkan pendapat mengenai Kluster Kayangan dan saya sendiri pun sebagai anggota masyarakat, kecewa dengan sikap sesetengah individu ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dalam situasi krisis Covid-19 yang melanda seluruh dunia seperti sekarang, kita sepatutnya mengetepikan sikap meninggi diri dan membantu kerajaan dan barisan hadapan untuk memerangi virus ini.

“Saya tak faham, kenapa sesetengah orang perlu bersikap sebegitu. Pada saya, dalam situasi sekarang kita kena mudahkan kerja barisan hadapan yang bekerja keras untuk menyelamatkan keadaan.

“Mereka (barisan hadapan) bukan nak menyusahkan masyarakat, sebaliknya nak membantu kita. Jadi, tolak tepi buat sementara waktu kalau anda ada gelaran tinggi sekali pun dan jadilah orang yang merendah diri,” katanya.

Menurutnya, dia memilih untuk membuat pesanan khidmat masyarakat dalam bentuk lagu kerana ia lebih santai.

“Sesetengah orang terlalu degil dan sukar untuk faham sekiranya pesan khidmat masyarakat dibuat dalam bentuk yang formal. Jadi, saya pilih untuk sampaikan dalam bentuk lagu kerana ia lebih santai dan mungkin lebih mudah untuk diterima,” katanya.

Lagu yang dikongsikan di Instagram itu menerima pelbagai reaksi daripada pengikut-pengikutnya di platform media sosial itu dan sejak dimuat naik semalam, ia mencatat hampir 100,000 tontonan.