KEMAMPUAN suara penyanyi, Nabila Razali terus menjadi perdebatan netizen apabila ada pihak mengatakan single terbaharunya, Peluang Kedua sepatutnya dinyanyikan oleh pencipta lagu itu iaitu Hael Husaini.

Kebanyakan netizen membandingkan cara nyanyian kedua penyanyi itu serta mempersoalkan kenapa lagu itu diberikan kepada Nabila.

Tampil mempertahan dirinya, Nabila menjelaskan netizen tidak seharusnya bersikap sebegitu kerana setiap penyanyi mempunyai cara nyanyian tersendiri.

“Ramai yang mempersoalkan kenapa Hael bagi lagu Peluang Kedua ini kepada Saya. Ramai juga yang membandingkan cara nyanyian kami.

“Pertama sekali, Hael adalah Hael dan saya tidak boleh menjadi sepertinya. Dia sudah mempunyai kelas tersendiri dan tiada siapa boleh menidakkannya.

“Tak salah kalau nak puji seseorang itu, tapi bukan dengan menjatuhkan orang lain,” katanya.

Menurut Nabila, setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri serta janganlah menghukum seseorang itu.

“Setiap manusia dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jadi janganlah kita menghukum seseorang itu hanya kerana dia tak sempurna di mata kita.

“Jadi kenapa Hael memberikan lagu yang cukup indah ini kepada saya? Rasanya biarlah hanya kami yang tahu,” katanya.

Sehingga kini lirik video lagu terbabit sudah mencecah 2.9 juta tontonan di laman YouTube rasmi Nabila Razali Entertainment.