Jakarta: Penyanyi popular Indonesia, Agnes Monica, 34, mengaku dia sering gagal dalam hubungan cinta sebelum ini mungkin kerana kurang mendekatkan diri dengan Tuhan.

Agnes yang dikenali sebagai Agnez Mo dalam temubual di saluran YouTube bersama Daniel Mananta baru-baru ini berkata, dia juga masih mencari lelaki yang mampu membawanya dekat dengan agama.

“Selama ini, hubungan yang saya jalin dengan seseorang selalu terkandas kerana mungkin kurang didasari dengan tunjang agama, yang mana lebih dekat pada Tuhan.

“Sebenarnya ramai yang tahu, di mana sudah diingatkan bahawa apa saja pun yang kita lakukan, perkara yang membuat kita jauh dari Tuhan, harus ditinggalkan.

“Apapun, untuk saya selama ini mungkin tidaklah terlalu jauh dari agama, cuma kurang mendekatkan diri dengan Tuhan dan ini yang cuba saya perbaiki dulu,” katanya.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Matahariku itu, apa yang sudah berlaku dalam hubungan cintanya sebelum ini juga disebabkan dia belum bersedia untuk lebih serius.

“Apa yang pernah berlaku dulu, pengalaman saya. Malah, pada masa sekarang pun rasanya untuk menjalin hubungan cinta serius masih lagi bukan keutamaan saya.

“Kini, apa yang giat saya lakukan adalah belajar memperbaiki diri untuk menjadi seorang yang lebih baik sekali gus mendekatkan lagi hubungan dengan Tuhan,” katanya.

Selain itu, Agnes berkata, dia juga banyak mengisi masanya dengan menghulur bantuan.

Katanya, dia selalu lebih fokus membantu orang lain hingga ada kala lupa pada diri sendiri.