PELAKON terkenal, Noorkhiriah menjadikan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex miliknya sebagai van jenazah.

   Noorkhiriah, 41, atau nama sebenarnya Noorkhiriah Ahmad Shapie berkata perkhidmatan disediakan itu adalah percuma.

   “Alhamdulilah, lepaskan kerana Allah. Akak sayang, maka akak jadikan kereta belakang ini van jenazah. Bagi yang memerlukan dialu-alukankan dan perkhidmatan percuma.

   “Insya-Allah, kalau sudah siap sepenuhnya nanti akak beritahu. Terima kasih juga pada yang menyumbang,” tulisnya.

   Menerusi status di Instagram juga, Noorkhiriah yang turut dikenali menerusi drama Nur memohon orang ramai untuk terus mendoakan dirinya.

   “Melangkah yakin dengan apa yang akan dibuat ini. Mohon doakan akak, bohong akak cakap kalau tak takut. Akak tak kaya tapi sebelum meninggal akak nak tinggalkan sesuatu buat semua.

   “Setakat cerita di TV itu jangan kira. Jangan kira dosa pahala orang lain. Semoga kita istiqamah dalam perjuangan diri sendiri, Amin,” tulisnya.

   Perkongsian Noorkhiriah itu mendapat maklum balas positif dan disambut baik peminat dan rakan artis.