WALAUPUN dihujani tawaran membuat ulasan produk di  laman sosial, pengarah dan penerbit Michael Ang tidak berminat untuk menyediakan perkhidmatan itu buat masa ini.

Michael berkata, dia berharap orang ramai berhenti bertanyakan kepadanya mengenai prosedur untuk dia mempromosikan sesuatu produk.

“Tak payahlah tanya macam mana nak buat ulasan kerana saya memang takkan buat. Memang ramai orang tanya saya berapa harga untuksatu ulasan sebelum ini.

“Kalau saya letak RM10,000, ada yang sanggup ke? Kalau ada yang sanggup bayar, saya buat. Tapi rasanya, tak payahlah,” katanya.

Michael berkata, antara sebab dia enggan kerana tidak mahu mengambil risiko atau ‘menipu’ pengikutnya dengan produk yang tidak berkualiti.

“Jika saya diberi produk itu tapi ia tak kena dengan saya kerana mungkin tak berkualiti atau tak sedap. Saya tak akan buat ulasan dan kemudian saya yang susah hati sebab kasihankan mereka yang sudah menghantar produk itu dari jauh. Kalau saya buat juga, saya rasa seperti menipu orang. Kalau tak bagus tapi saya kata bagus, itulah dilema saya,” katanya.

Michael berkata, dia memang ada membuat ulasan produk makanan sebelum ini, tetapi ia adalah produk milik rakan yang banyak berjasa dengannya.

“Memang makanan itu sedap. Kalau tak sedap saya takkan promosikannya. Kalau saya nak, saya akan cari sendiri Instagram anda, saya pesan dan saya akan bayar. Kalau betul-betul sedap saya akan buat ulasan jujur dengan percuma,” katanya.