SELEPAS berjaya dengan lagu Pematah Hati dan Vroom Vroom, Nabila Razali muncul dengan single kelimanya berjudul Peluang Kedua.

Lagu ciptaan Hael Husaini ini memberi kelainan apabila menyerlahkan sisi lain Nabila menerusi genre balada.

Lebih menarik, lagu itu mendapat lebih 1,000 ‘cover’ di semua laman sosial sebelum ia dilancarkan secara rasmi semalam.

“Alhamdulillah, walaupun banyak dugaan kami berjaya melalui proses pembikinan lagu ini dengan baik. Lirik lagu ini sangat mendalam sehingga saya sendiri menangis ketika pertama kali mendengar demo daripada Hael. Liriknya juga lebih dekat dengan hati masyarakat terutama yang sedang bercinta mahupun putus cinta,” katanya.

Rangkap korus lagu Peluang Kedua tular di laman sosial selepas menjadi salah satu lagu tema untuk drama lakonannya, Seindah Tujuh Warna Pelangi yang ditayangkan di slot Akasia TV3, baru-baru ini.

Nabila berkata, buat pertama kali lagu nyanyiannya itu dilancarkan secara rasmi di saluran YouTube Nabila Razali Entertainment.

BARU wujudkan saluran YouTube sendiri dan lancarkan lagu secara rasmi di situ.
BARU wujudkan saluran YouTube sendiri dan lancarkan lagu secara rasmi di situ.

“Saya juga baru mewujudkan saluran YouTube sendiri dan melancarkan lagu ini secara rasmi di situ. Selain itu, ia juga akan menjadi ruang untuk saya berkongsi aktiviti seni dengan peminat,” katanya.

Dalam pada itu, Nabila berkata, dia berdepan pelbagai cabaran sepanjang proses pembikinan lagu berkenaan termasuk penggambaran yang terpaksa ditangguhkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Banyak cabaran dilalui dan saya pasti semuanya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Selain masalah masa dan kesihatan yang tidak cukup rehat, penggambaran muzik video juga ditangguhkan kerana PKP. “Sepatutnya penggambaran muzik video berlangsung pada 20 Mac lalu, tapi arahan kerajaan melaksanakan PKP pada 18 Mac membuatkan penggambaran tertangguh, katanya.

Lagu Peluang Kedua mengisahkan mengenai seseorang yang ingin membetulkan kesilapan dalam hubungan dan meminta untuk diberikan peluang kedua.

Nabila berharap buah tangannya kali ini memberi impak dan dihargai peminat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan