PERNAH membina kerjaya sebagai penyanyi dan pelakon, kini Rafidah Ibrahim atau mesra disapa Fida lebih selesa menguruskan perniagaan dibinanya.

Fida, 34, berkata, kerinduan ingin aktif dalam karier seni itu masih ada, tetapi komitmennya dilihat sangat perlu diutama dalam perniagaan.

“Sepanjang aktif berlakon dulu, saya sudah merasai nikmat populariti termasuk mendapat peluang melakonkan watak utama dalam drama.

“Berlakon filem pun pernah. Begitu juga untuk nyanyian, saya ada menghasilkan beberapa lagu termasuk memberi nafas baru pada lagu Apo Kono Eh Jang 2012,” katanya.

Tidak terlepas daripada dipalit kontroversi sebagai selebriti, Fida berkata, ia pengalaman menyedihkan. Tetapi, semuanya ketentuan takdir.

“Apa yang pernah dilalui itu ada kalanya teringat juga. Namun, daripada pengalaman itu banyak mengajar saya erti cekal dalam meneruskan kehidupan.

“Malah, bukan mudah juga saya bangkit membina empayar perniagaan sekarang. Kalau diingat semula, banyak air mata sedih yang tertumpah,” katanya.

Fida yang mengasaskan perniagaan R Secrets Sdn Bhd berkata, dalam perniagaan juga dia pernah menjadi mangsa ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

“Apapun, saya sentiasa yakin dengan rezeki Allah. Ditambah, ketika itu arwah ibu masih ada sebagai pembakar semangat untuk terus kuat.

“Namun, kecekalan hati saya rapuh seketika ketika ibu meninggal dunia pada Mei 2017. Pemergian ibu sangat meninggalkan kesan mendalam kerana saya dan ibu tinggal bersama,” katanya.

Masih solo, Fida juga menyerahkan urusan jodohnya pada ketentuan Yang Esa.

Menurut Fida, apapun dia kini sangat bersyukur dapat menjalani kehidupan dengan tenang.

Berikutan penularan pandemik Covid-19 menular di seluruh negara ketika ini, Fida berkata, dia patuh arahan kerajaan melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, duduk saja di rumah selagi itu yang disarankan kerajaan.

Bagi Fida, pada masa kini keadaan kesihatan dan keselamatan diri sangat penting dijaga kerana wabak Covid-19 cukup berbahaya.