MENJALANI ibadah puasa sewaktu diduga dengan ujian wabak Covid-19 bukanlah alasan untuk umat Islam seantero dunia bermuram durja, lemah serta kalah kepada ujian yang diturunkan Allah SWT.

Umat Islam yang beriman kepada Rukun Islam dan Rukun Iman seharusnya menjadikan pelaksanaan ibadah puasa 1441 Hijrah ini ketika diserang virus sekecil zarah ini sebagai ruang untuk menambah ketakwaan, keimanan dan nilai integriti di dalam diri.

Oleh itu, TV Alhijrah menyeru seluruh umat Islam terutamanya penonton setia stesen ini untuk menghayati dan menjalani ibadah puasa secara bijaksana dengan sudut pandangan berbeza namun penuh kebaikan mengikut acuan Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, TV Alhijrah meraikan kedatangan Ramadan kali ini dengan mengangkat tema Ramadan Menyuci Hati sebagai kempen istimewa sepanjang sebulan berpuasa.

“Tema ini membawa maksud yang jelas iaitu mengajak penonton membudayakan penghayatan ibadat berpuasa mengikut sunah Rasulullah SAW seperti bersederhana dalam setiap perbuatan, mengelakkan pembaziran, melipatgandakan ibadah dan banyak lagi.

“Paling istimewa, menerusi tema ini, kita didik nurani dan melatih empati diri penonton untuk lebih peka kepada nasib golongan yang kurang berkemampuan terutama mereka yang sangat terkesan dari sudut ekonomi dan psikososial dek penangan pandemik global ini, katanya.

Menurut Namanzee, apa yang diharapkan kempen itu mampu menanam dan memberi semangat buat semua sepanjang Ramadan ini.

“Kita mahu semua yang menonton TV Alhijrah pada Ramadan kali ini beroleh manfaat serta menanam semangat dan iltizam untuk mempertingkatkan amalan hingga ke hari terakhir Ramadan seterusnya mengekalkannya sepanjang kehidupan.

“Ini adalah peluang terbaik untuk refleksi diri. Jangan jadikan keterbatasan berpuasa pada saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai alasan untuk tidak mengejar markah penuh ibadah ini. Kita diciptakan sebagai sebaik-baik kejadian. Kita adalah umat Nabi Muhammad SAW. Kita harus menjadi juara, katanya.

Mengenai kempen itu, Namanzee berkata, ia dilaksanakan di dwiplatform iaitu di platform televisyen dan di platform digital.

Sebanyak 12 rancangan baharu disajikan secara segar buat penonton di rumah. Kesemua rancangan ini menyeimbangkan empat komponen penting di dalam diri manusia iaitu qalb (hati), al-ruh (ruh), al-nafs (nafsu), al-aql (fikiran).

“Kita yakin, TV Alhijrah akan menjadi stesen pilihan utama rakyat Malaysia sepanjang Ramadan ini kerana nadi penyiarannya yang mampu memberikan makanan jiwa buat penonton. Lihat sahaja, sepanjang PKP dilaksanakan, TV Alhijrah menjadi pilihan utama penonton untuk kandungan Islam dengan syer saluran dua kali ganda di hadapan saluran Islamik yang lain. Malahan laman Facebook juga dilayari 10.6 juta pengguna pada bulan ini iaitu tujuh kali ganda melebihi jumlah pengikut sedia ada.

“Tontonlah rancangan kami. Ia pasti mampu menenangkan, menghilangkan rasa gusar serta mendekatkan seluruh penonton stesen ini dengan Allah SWT, katanya.

Dalam keterbatasan PKP, TV Alhijrah berjaya menyediakan sebanyak 92 jam program khusus untuk kandungan istimewa Ramadan yang meliputi program kerohanian, bual bicara, majalah dan travelog.

Antara program terbabit seperti QuranTime, Ihya’ Ramadan, Tazkirah Jumaat, Tausiyah Ustazah Asma dan Munajat.

Enam lagi program lain ialah Kembara Sufi Jejak Anbiya, Assalamualaikum Istimewa Ramadan, Ngaji On The Go: Ustaz & Lelaki, Ngaji On The Go: Ustazah & Qariah, Tadarus 30 Juzuk dan E-Kaunter Netizen Bersama Syamsul Debat.

Selain program Ramadan ini, TV Alhijrah juga sedang menyusun dan merangka strategi bagi kempen musim haji yang akan datang.

Jadi, jangan lupa untuk menjadikan TV Alhijrah sebagai ladang ilmu anda pada Ramadan ini. Banyak perkongsian bermanfaat untuk semua lapisan umur sudah disediakan.