PELAKON, Elfira Loy mengajak orang ramai membantu keluarga dan individu yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 dengan membeli sambil beramal menerusi pembelian tudung terbaharu keluarannya, The Maharani Series.

Elfira berkata, inisiatif itu dibuat selepas jenama tudung dari Indonesia, Buttonscarves yang juga rakan kerjasamanya turut melakukan perkara sama di sana.

“Pada mulanya saya dapat tahu pihak mereka sudah menyalurkan bantuan di Indonesia termasuk mengagihkan topeng muka selain sumbangan lain. Kini ia dipanjangkan di Malaysia pula. Apatah lagi kita pun negara serumpun.

“Apabila pihak mereka membuat keputusan itu saya melihat ia satu langkah baik dan sangat bertepatan dengan situasi semasa.

“Saya percaya setiap daripada kita boleh memainkan peranan dan menyumbang dengan pelbagai cara,” katanya yang juga ibu kepada Muhammad Rayyan Khalaf yang baru berusia enam bulan.

Koleksi yang dilancarkan hari ini serentak di Indonesia dan Malaysia itu menyaksikan Elfira menjadi artis tempatan pertama disunting bekerjasama dengan jenama tudung popular yang berpangkalan di negara seberang itu.

Elfira berkata, kerjasama mereka tercetus tanpa diduga selain mengakui dia juga peminat kepada jenama tudung itu.

“Ia bermula dengan mesej peribadi (DM) di Instagram dan berlanjutan ke aplikasi WhatsApp. Pendek kata, dari awal lagi ia berjalan lancar. Saya juga anggap ini rezeki anak sulung.

“Sejujurnya, sejak beberapa tahun lalu saya menjadi peminat secara diam kepada jenama ini. Kalau pergi ke Jakarta, saya akan membeli skaf dan tudung jenama mereka kerana materialnya cukup selesa dan kemas.

“Pada masa sama, saya dapat tahu mereka juga mengintai untuk bekerjasama dengan artis Malaysia. Difahamkan ada beberapa calon lain, tapi rezeki berpihak kepada saya. Sesuai dengan nama koleksi ini, saya yakin mereka yang memakainya akan berasa seperti seorang ratu atau maharani,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19