Kuala Lumpur: Pelakon Ruhainies menepis tanggapan menerusi komen segelintir netizen di Instagram yang mendakwa dia mendapat layanan kasar ketika menjalani ujian Rapid Test Kit (RTK) Covid-19, semalam.

Ruhainies, 29, atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata, petugas kesihatan terbabit menjalankan ujian dengan cermat dan baik.

“Tidaklah kasar seperti yang dibayangkan netizen. Mungkin sudut rakaman video ia kelihatan sedemikian. Dalam masa sama, saya pula tak duduk diam sebab ketakutan. Bagi saya okay sahaja, malah sebelum buat ujian petugas kesihatan beri masa untuk saya bertenang.

“Ketika itu, hanya saya yang berada di klinik swasta terbabit. Tidaklah sampai petugas berkenaan melakukan secara kasar kerana ramai yang menunggu giliran sebagaimana yang disangka segelintir pihak. Mungkin yang beri komen itu melalui pengalaman berbeza dengan saya. Jadi masing-masing boleh memberikan pendapat,” katanya.

Menurut Ruhainie, setiap individu juga mempunyai tahap keberanian masing-masing.

“Orang yang rapat dengan saya tahu mengenai tahap ketakutan saya terhadap perkara sebegini. Seharian tidak boleh tidur apabila esoknya ada temujanji untuk buat ujian ini. Malah sepanjang 29 tahun ini, saya hanya sekali ditahan di wad. Itu pun kerana menjalani pembedahan appendiks.

“Sebolehnya saya elak untuk masuk hospital sebab takut. Sampai begitu sekali. Keluarga pun faham. Ada juga cakap hanya mengada-ngada. Orang boleh cakap macam-macam. Masing-masing ada pendapat dan mungkin petugas yang lakukan ujian terhadap mereka buat dengan lembut atau mereka tidak penakut macam saya.

“Apa yang penting, petugas berkenaan sudah jalankan ujian saringan dengan baik. Saya pun tidaklah rasa sakit atau ada kesan sampingan selepas itu. Alhamdulillah, hasil keputusan yang diterima juga negatif,” katanya.