PENYANYI popular, Faizal Tahir dan Zee Avi buat pertama kali bekerjasama dalam lagu Make It Through dalam menjayakan kempen #KitaSapotKita yang dibawakan Maxis Berhad.

Projek lagu itu dihasilkan susulan penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

Faizal, 42, atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir berkata, mesej utama yang ingin disampaikan dalam lagu itu adalah untuk memberi inspirasi kepada semua rakyat Malaysia supaya terus berfikiran positif.

“Kita faham ketika ini semua sedang berdepan cabaran atas apa yang berlaku. Jadi, menerusi lagu ini mesej utama yang ingin disampaikan adalah harapan yang mana kita semua akan menjadi lebih baik selepas ini.

“Paling penting kita nak mengajak masyarakat supaya tidak berfikiran negatif. Lagu ini sangat mudah difahami dan mesej disampaikan ringkas. Sesuai dengan kempen #KitaSapotKita , lagu ini mampu memberi inspirasi kepada kita semua untuk merealisasikan saranan kerajaan dalam menangani isu ini,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Zee Avi yang juga komposer dan penulis lirik bersama Faizal dan John Jeevasingham berkata, dia tidak mahu orang terus bersedih.

“Sepanjang lebih sebulan kita sudah lalui banyak perkara. Jadi, menerusi lagu dan lirik ini, kami nak bawa anda keluar dari semua itu. Kita tidak mahu masyarakat terus bersedih.

“Dalam pada kita duduk di rumah dan bersabar, kita harus terus berfikiran positif. Jadi, supaya semuanya akan lebih baik, kita kena patuh pada arahan,” katanya.

Terdahulu, Faizal dan Zee muncul pada sesi temu bual secara dalam talian di aplikasi Zoom anjuran Maxis selepas pelancaran video muzik Make It Through secara langsung di saluran YouTube Maxis hari ini.

Turut serta, Ketua Jenama dan Pemasaran Maxis, Tai Kam Leong dan Pengarah Urusan XENO Entertainment, Veerasimir Prashan Chitty.

Sementara itu, Kam Leong berkata, lagu dan video muzik yang dilancarkan adalah yang pertama di Malaysia untuk menukar perkongsian sosial menjadi sumbangan.

“Rakyat Malaysia dijemput untuk memberi sumbangan dengan hanya perlu mendengar dan berkongsi video muzik, untuk disalurkan ke Yayasan Kebajikan Negara untuk usaha amal yang berkaitan dengan Covid-19 sebagai sebahagian daripada Kempen #KitaSapotKita Maxis. Semua pengguna Maxis juga dapat memberikan sumbangan dengan melanggan lagu baru Make It Through sebagai nada dering pemanggil.

“Harapan kita di Maxis adalah untuk menyatukan rakyat Malaysia supaya saling membantu dengan mendengar dan berkongsi lagu ini. Kami berterima kasih kepada banyak pihak yang terbabit dalam melancarkan kempen dan video ini,” katanya.

Semua hasil yang diperoleh akan disalurkan ke Yayasan Kebajikan Negara untuk usaha amal berkaitan Covid-19.

Orang ramai berpeluang untuk turut serta dalam ‘versi rakyat Malaysia’ dengan memuat naik video mereka ke Instagram yang akan digabung oleh Maxis untuk membuat montaj video khas.

Maxis akan memilih kira-kira 100 video dari kiriman Kandungan yang Dihasilkan Pengguna (UGC) ini dan mengubahnya menjadi montaj video muzik khas. Kiriman akan dipilih berdasarkan siapa cepat dia dapat dan ditutup pada 1 Mei ini.

Video muzik itu juga akan dilancarkan di YouTube, Spotify, Apple Music dan Joox.