KEHIDUPAN harian pekerja produksi sangat sukar apabila penggambaran terpaksa ditangguhkan atau dihentikan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Hakikat ini diakui oleh jurumekap drama, Azeri Seman yang kini buntu memikirkan punca pendapatan bagi menampung hidup. 

“Saya habis penggambaran telefilem pada 13 Mac lalu dan selepas itu tunggu bayaran yang makan masa selama satu atau dua minggu.

“Apabila PKP fasa pertama dikuatkuasa pada 18 Mac, bapa saya meninggal dunia sekaligus saya ambil alih tugas sebagai ketua keluarga.

“Semasa awal fasa pertama PKP, saya masih boleh bertahan dan anggap sebagai cuti rehat kerana maklumlah kerja sebagai kru produksi tak menentu masa,” katanya.

Bagaimanapun Azeri baru berpindah rumah ketika itu, menjadikan segala-galanya serba tak kena.

“Banyak kos yang saya terpaksa keluarkan dan mati kutu juga dibuatnya. 

“Saya tahu berkenaan bantuan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) tapi saya tak dapat ke sana kerana jarak tempat tinggal saya dengan Taman Permata, Selangor agak jauh lebih 10 kilometer.

“Saya pujuk hati dengan berkata mungkin ada ramai lagi yang lebih memerlukan bantuan ini,” katanya.

Azeri akhirnya membuat keputusan membantu promosi makanan yang dimuatnaik oleh rakan-rakan di media sosial bagi menampung perbelanjaannya. 

“Daripada promosi yang dibuat itu, dapatlah juga sikit duit poket buat saya.

“Ikutkan saya teringin juga nak buat sendiri sebab saya juga boleh memasak, tapi saya tiada modal dan kesihatan pun kurang mengizinkan.

“Saya ada juga buat promosi hand sanitizer untuk bantu kakak angkat, tapi biasalah apabila terlalu ramai buat perniagaan bermusim memang susah juga,” katanya. 

Azeri berkata, dia kini tidak melakukan apa-apa kerja dan terpaksa berjimat selagi mampu.

“Kalau makan pun, sehari satu kali sahaja. Nasib baik saya pandai uruskan diri.

“Saya malu nak meminta-minta kerana masyarakat tak tahu apa  sebenarnya yang kami lalui.

“Mereka nampak kemewahan menerusi pihak yang suka tayang itu dan, tapi hakikat sebenarnya lain,” katanya.

Berlainan pula bagi pengarah drama dan fotografi, Bob Fitri yang memanfaatkan PKP untuk menyiapkan tesisnya.

“Saya isikan masa dengan siapkan laporan projek diploma kemahiran Malaysia dalam TVET.

“Alhamdulillah saya masih boleh bertahan dengan menggunakan wang simpanan. Cuma, saya simpati kepada kru belakang tabir lain yang memang perlukan bantuan. 

“Sebenarnya hidup kami bukanlah mewah sangat. Kami pun kais pagi makan pagi, kais petang makan petang juga seperti orang lain,” katanya. 

Sementara itu, pengarah seni, Shamsul Akmal Asmoni mengakui lebih meluangkan masa untuk keluarga.

“Sepanjang PKP fasa pertama saya tak buat apa sangat kecuali belajar resepi memasak.

“Apabila masuk fasa kedua, saya mula buat editing untuk satu telefilem arahan saya sendiri berjudul Airmata Biru yang sempat habis penggambaran dua hari sebelum PKP.

“Proses editing ini dibuat secara online dengan editor. Kami selalu berkomunikasi dan prosesnya kini dah masuk draf ketiga,” katanya.

Memasuki fasa ketiga, Shamsul mula menulis skrip berjudul Abah, Kami Minta Maaf untuk tema Hari Bapa.

“Hanya, pendapatan semasa PKP belum ada. Alhamdulillah saya ada simpanan, selain isteri bekerja gaji tetap.

“Sekiranya PKP berpanjangan hingga pertengahan Ramadan, saya bercadang nak berniaga online. 

“Saya akui kurang kemahiran tapi akan cuba kerana kakak saya juga buat perniagaan sebegini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan