Kuala Lumpur: Pengarah, Datuk Yusry Abdul Halim mengesahkan isterinya, Datin Lisa Surihani kini hamil anak ketiga.

Berita gembira itu dikongsi Yusry sempena menyambut ulang tahun perkahwinan kesembilan mereka, semalam.

“Tanpa niat ingin bersembunyi, kami cuma ambil pendekatan dengan fikiran, mungkin kali ini tak perlu untuk pengumuman, lambat laun, orang akan tahu juga.

“Anugerah ini tentunya kami amat bersyukur kepada Allah SWT dan ia sudah dikongsikan dalam kalangan keluarga dan rakan rapat.

“Pada masa yang sama, terdetik di hati kami, memahami ada juga yang cuba bertahun lama untuk mendapatkan zuriat. Ia bukan sesuatu yang senang yang dilalui, dan kami mendoakan mereka , moga doa mereka dimakbulkan. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk mereka,” katanya.

Yusry juga berterima kasih kepada peminat dan orang ramai mendoakan isteri dan bayi dalam kandungan.

“Dalam keadaan pandemik ini, banyak lagi masalah negara dan keluhan rakyat yang perlu dititikberatkan. Moga Allah swt melindungi kita semua.

“Terima kasih kepada mereka yang sudi mendoakan yang baik-baik untuk kami. Kekal selamat semua,” katanya.

Bersempena ulang tahun perkahwinan kesembilan mereka, Yusry menyifatkan dia lelaki yang cukup bertuah.

“Selamat ulang tahun perkahwinan sayang. Selepas sembilan tahun, saya masih berasa seperti lelaki paling bertuah.

“Saya masih kagum dengan anda. Semua yang anda buat dan katakan, sentiasa baik hati, penyayang dan memberi sokongan. Dan anak-anak kita sangat bersyukur kerana mempunyai ibu seperti anda. Alhamdulillah,” katanya.

Yusry dan Lisa berkahwin pada 23 Februari 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Yahaira Leanne, 6, dan Yusof Leonne, 4.