Hong Kong: Pelakon terkenal Hong Kong, Ng Man Tat disahkan meninggal dunia pada usia 70 tahun akibat barah hati, hari ini.

Kenalan rapatnya, Tenky Tin Kai Man, memaklumkan kepada media Hong Kong, mendiang meninggal dunia pada jam 5.16 petang di Hospital Union, Hong Kong di samping isteri, anak-anak dan saudara mara. 

“Dia meninggal dengan tenang. Doktor berikan ubat untuk menenangkannya dan dia meninggal dalam tidur,” katanya. 

Ng sebelum ini bertarung dengan keadaan kesihatan yang tidak menentu selama beberapa tahun kebelakangan ini. 

Pada 2014, dia dikejarkan ke hospital kerana mengalami masalah pernafasan sebelum disahkan menghidap masalah jantung. 

Ng memulakan karier seninya ketika berusia 22 tahun pada 1973 dan cukup dikenali dalam beberapa filem bersama pelakon komedi Stephen Chow antaranya The Final Combat, The Justice of Life dan Shaolin Soccer. 

Pada 1991, mendiang dianugerahkan Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Filem Hong Kong menerusi karakternya dalam A Moment of Romance yang turut dibintangi pelakon Andy Lau.