DEMI menghormati saranan kerajaan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19, pendatang baharu, Fadh Majid, melancarkan single pertamanya, Bukan Takdirku melalui platform media sosial, Instagram dan Bigo baru-baru ini.

Segmen yang dinamakan Borak Santai Bersama Fadh Majid itu diadakan pada 27 Mac lalu bersiaran secara langsung di Instagram dan Bigo Live selama satu jam.

Tambah menarik, selepas bersiaran secara langsung, video lirik lagu berkenaan dilancarkan menerusi saluran YouTube Todak Music pada jam 9 malam.

Tidak hanya menjawab pelbagai soalan yang diajukan oleh peminat, Fadh, 26, atau nama sebenarnya, Muhammad Fadhlullah Abdul Majid juga sempat berinteraksi secara langsung bersama guru vokal, Cikgu Shafie yang mengajarkannya teknik nyanyian, berinteraksi bersama penyanyi Shiha Zikir serta rakan media yang menyertai sesi terbabit.

Menjawab pertanyaan media mengenai perasaan apabila terpaksa melancarkan single Bukan Takdirku dalam skala sederhana menggunakan platform media sosial, Fadh ternyata berlapang dada dengan keadaan ini.

Malah, Fadh turut menjelaskan dia dan syarikat rakaman Todak Music, bukannya tidak sensitif apabila meneruskan hasrat untuk melancarkan lagu ini dalam keadaan seluruh dunia berasa terancam dengan wabak ini.

“Walaupun dalam keadaan penularan wabak ini dan PKP, ada sebahagian kerja perlu dilaksanakan. Seperti pelancaran ini, ia sudah lama dirancang.

“Atas dasar kepekaan dan keprihatinan, malah demi kebaikan bersama, saya dan Todak Music mengambil inisiatif untuk menjadikan platform digital seperti Instagram dan Bigo sebagai landasan utama bagi pelancaran dan promosi single ini sepanjang dalam penjarakkan sosial dan mengharungi krisis wabak Covid-19.

“Saya berasakan ini saja cara terbaik buat masa sekarang bagi memperkenal dan mempromosikan single saya.

“Insya-Allah, apabila keadaan sudah reda nanti, pastinya akan ada majlis pelancaran diadakan,” katanya.

Dalam kekalutan keadaan semasa sekarang dan fokus utama masyarakat untuk sama-sama memerangi wabak ini, Fadh menerima apa juga ketentuan Allah SWT dan penerimaan lagu itu.

“Sebagai hamba-Nya saya sudah berikhtiar. Saya menyerahkan segalanya kepada Allah SWT untuk menentukan perjalanan lagu ini.

“Mungkin berjaya atau sebaliknya, mudah-mudahan nasib berpihak kepada saya kerana saya yakin lagu ini mampu pergi jauh,” katanya.

Tambah Fadh, dia berharap single itu akan mendapat perhatian dan digemari ramai.

“Saya percaya lagu ini ada kelainan tersendiri malah ketika proses rakaman saya meletakkan sepenuh penjiwaan dan rasa kerana lagu ini sarat dengan maksud mendalam.

“Saya tidak mengimpikan nama terus gah atau popular, tetapi bagilah saya peluang untuk mewarnai industri seni ini bersama rakan industri lain,” katanya.

Fadh turut menjawab soalan adakah dia mampu bersaing dengan rakan artis yang digelar Budak Baru Nak Up (BBNU) yang sudah mencipta nama, Fadh berkata, dia percaya dengan karya yang dibawa.

“Saya tidak boleh nafikan semua itu adalah rezeki. Saya hanya ikut aturan ditetapkan.

“Saya percaya dengan rangka promosi Todak Music. Mereka pasti sudah menyediakan pelbagai aktiviti untuk saya ke depan dan menyerlah,” katanya.