“SAYA tak sangka video ini menarik perhatian ramai pihak dan setakat ini dah mendapat tontonan sebanyak 30,000 kali,” kata pelakon Lan Zailan berkenaan videonya yang tular di media sosial.

Menerusi video terbabit, Lan Zailan, 62, bercakap dalam Bahasa Tamil menasihatkan masyarakat supaya patuh pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya bergurau dalam kumpulan WhatsApp artis berkenaan PKP dan Jalil Hamid kata, sepatutnya saya bercakap dalam Bahasa Tamil, manakala Rama (Ramasundram) cakap Bahasa Cina. Apatah lagi, Rama belajar di sekolah Cina dan dia memang pandai cakap.

“Jadinya, saya buat video ini semalam dan tak sangka apabila dimuat naik ke Facebook, dapat perhatian ramai pula,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kemahiran bercakap Tamil diperoleh ketika dia tinggal di sebuah estet di Slim River, Perak.

“Saya tinggal di situ selama 10 tahun dan bercampur dengan masyarakat India.

“Dari situlah, saya mahir cakap Tamil. Tapi, saya tak pandai menulis dan membaca tulisan Tamil,” katanya.

Mengulas kandungan ucapannya, Lan Zailan berkata, ia berupa menasihatkan masyarakat supaya patuh kepada PKP.

“Kepada rakyat Malaysia. Mulai daripada hari ini jangan keluar ke mana-mana. Kalau keluar kena tangkap dengan polis nanti kena denda RM1,000. Faham tak?

“Okay stay at home. Jangan keluar ke mana-mana. Tapi kalau awak semua ada duit seribu ringgit tu, bolehlah keluar. Tapi kalau tiada, jangan keluar, duduk rumah,” katanya.

Pelakon ini memberitahu beberapa tahun lalu dia sering berganding dengan Rama dan mendiang Tan Ting untuk berlawak di persembahan pentas.

“Saya akan cakap Tamil, Rama pula cakap Cina, manakala Tan Ting pula cakap Melayu.

“Sekarang kami sedang mencari pelawak kaum Cina yang mahir Bahasa Melayu bagi menggantikan tempat Tan Ting.

“Saya juga pernah berlakon drama Tamil arahan Rama yang pernah ditayangkan di RTM dan Astro,” katanya.

Sehingga kini, video Lan Zailan mendapat perkongsian 1,600 dan kesukaan 1,300 pengguna Facebook.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan