PERIT apabila mengenangkan hampir 20 tawaran penyediaan sistem bunyi dan deejay bagi pelbagai acara termasuk majlis rumah terbuka dibatalkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal pandemik Covid-19.

Pendapatan yang hilang dianggarkan sekitar RM15,000 belum termasuk untuk tawaran bulan berikutnya.

Bagaimanapun anggota trio A To Z, Norazlan Abd Aziz atau Lan tidak putus asa berusaha mencari rezeki untuk keluarganya.

Penyanyi yang pernah mengecapi populariti menerusi lagu Darjat dan Itik Gembo-Gembo sekitar pertengahan 1990-an, kini mengusahakan perniagaan buluh lemang sempena Ramadan dan Aidilfitri.

“Sebagai anak kampung, saya berpegang pada prinsip campak ke mana-mana pun saya boleh hidup. Sebenarnya setiap tahun memang saya buat perniagaan ini kerana saya ada kawan-kawan yang mengusahakan tanam buluh lemang, buluh madu dan sebagainya.

“Mulanya saya agak tertekan apabila pekerjaan rutin tergendala dan terfikir untuk kembali menjual buluh lemang. Apabila menghubungi kawan-kawan, mereka sokong usaha saya. Bekalan pun banyak,” katanya.

Lann yang kini menetap di Bandar Sungai Buaya, Rawang berkata, dia mula menghebahkan perniagaan ini di Facebook dan ternyata mendapat sambutan daripada pembeli.

“Namun disebabkan PKP, saya berdepan masalah penghantaran pula. Akhirnya saya beralih kepada perkhidmatan Grab kawan-kawan dan alhamdulillah berjaya.

“Penghantaran pertama adalah sebanyak 500 batang buluh. Selepas itu disusuli lagi 500 batang. Untuk minggu pertama sahaja saya berjaya jual 1,000 batang buluh lemang. Harga jualan taklah mahal dan potongan harga akan dibuat ikut jumlah yang dibeli. Biasanya saya tetapkan penghantaran hanya untuk tempahan 500 batang,” katanya.

Menurutnya, daripada duduk diam tanpa melakukan apa-apa kerja, ada baiknya dia berniaga buluh lemang.

“Tiada pendapatan buat saya tak senang duduk. Memanglah isteri, Siti Nur Ain Daut bekerja dan ada gaji tapi saya tak boleh harapkan dia semata-mata.

“Ini boleh dikatakan kerja sementara saya. Tapi sekiranya boleh mendatangkan untung yang banyak, tak mustahil saya akan melakukannya terus. Saya akan berjumpa pengusaha lemang yang menjual lemang secara berpanjangan dan bukan bermusim untuk bincangkan perkara ini,” katanya yang mempunyai dua anak iaitu Putera Muhammad Darwish dan Puteri Nur Darwisya menerusi perkahwinan keduanya ini.

Dalam masa sama, Lann sendiri mengusahakan tanaman buluh madu dan memasarkan rebung madu kepada mereka yang berminat.

href=”https://www.hmetro.com.my/perintahkawalanpergerakan”>Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan