PENYANYI hip hip popular W.A.R.I.S menafikan pelancaran lagu baharunya Bomba yang kebetulan sama dengan judul lagu SonaOne disengajakan. 

 W.A.R.I.S, 32, juga tidak peduli dengan peminat yang cuba membuat perbandingan.

 W.A.R.I.S atau nama sebenarnya Muzammil Alias berkata, lagu tema untuk drama Hero itu dilancarkan atas arahan penerbitnya Darling Ngasri.

“Lagu itu sebenarnya sudah siap dari tahun lalu lagi untuk drama Hero. Kemudian, Darling menyuruh untuk melancarkannya sebaik drama itu ditayangkan baru-baru ini. Ini bukan pertama kali pun lagu dengan judul sama dilancarkan lebih kurang serentak. Sebelum ini, saya pun pernah lancarkan lagu Hukaloh, manakala SonaOne pula dengan lagu Hakeleh.

“Bagi saya, isu ini biasa dan terpulanglah jika ada peminat yang nak banding-bandingkan. Masing-masing ada pendapat sendiri tapi tak kisahlah asalkan sokong muzik tempatan,” katanya.

 W.A.R.I.S juga menyifatkan sekarang masa terbaik untuk melancarkan lagu itu sebagai menyokong barisan hadapan yang tidak henti berusaha menangani wabak Covid-19.

“Mungkin betul juga lagu ini relevan dengan perjuangan barisan hadapan kita sekarang,” katanya.

Semalam,  W.A.R.I.S melancarkan video muzik Bomba di YouTube seminggu selepas SonaOne melancarkan lagunya. Ia menyebabkan segelintir peminat membandingkan kedua lagu itu.