PANDEMIK Covid-19 yang menular di seluruh dunia ketika ini turut membantu kemunculan kumpulan trio dikenali Bimbo dari Bandung, Indonesia menjadi perhatian ramai.

Semuanya dek kerana lagu berjudul.Corona Datang nyanyian kumpulan trio itu yang baru siap dirakam dan tular tanpa disangka.

Mengikut laporan daripada KOMPAS.com, lagu Corona Datang itu turut didakwa sudah dicipta sejak tiga dekad lalu sekali gus meramalkan wujudnya wabak Covid-19.

Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal tegas salah seorang anggota trio Bimbo iaitu Acil Darmawan Hardjakusumah atau Acil yang memaklumkan karya itu masih baru.

“Ia adalah sebuah lagu baharu dan bukan sudah lama dicipta sejak 30 tahun lalu.

“Lagu Corona Datang, memang kami tujukan kepada Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), selepas melihat virus Covid-19 menyerang seluruh dunia termasuk Indonesia.

“Lagu ini juga dihasilkan atas permintaan Kepala Gugus Tugas COVID-19 iaitu Doni Mardo. Namun, saya tidak tahu bagaimana lagu Corona Datang boleh tular di YouTube dan platform medium media sosial lain,” katanya kepada KOMPAS.com.

Menurut Acil lagi, lagu Corona Datang baru sahaja selesai rakaman yang belum cukup seminggu prosesnya dilakukan.

“Saya bingung memikirkan bagaimanapun lagu kami boleh tular sangat pantas. Apapun, ia dilihat bagus untuk mempromosikan lagu Corona Datang pada ketika ini.

“Lagu ini pun sekadar kesedaran saja. Ia berikutan kami melihat penularan Covid-19 kini sebagai peristiwa besar seluruh dunia dan wabaknya luar biasa,” katanya.

Justeru, sehingga kini Acil jiga tertanya-tanya siapa penyebar cerita mendakwa lagu Corona Datang sudah dicipta sejak 30 tahun lalu, pada hal proses rakamannya baru saja selesai.

Selain Acil, kumpulan trio Bimbo turut dianggotai dua lagi anggota lain iaitu Syam dan Jaka.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19