ARAHAN bekerja dari rumah yang dilaksanakan sektor awam dan swasta selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19 bermula 18 Mac hingga 14 April ini dilihat mempunyai kelebihan tersendiri.

Penyampai radio Suria FM, Fizi Ali yang bertugas dari rumah bermula minggu lalu mengakui ia satu pengalaman baru buat dirinya.

Fizi berkata, jika sebelum ini penyampai radio sinonim dengan bekerja di dalam konti, namun bagi menyahut seruan kerajaan dia dan dua pelawak gandingannya, Issey dan Ajak menerusi segmen Team Pagi Suria bergilir-gilir bekerja di pejabat dan di rumah.

“Kalau ikutkan penyampai radio perlu bekerja di dalam konti bersama tapi kali ini lain sikit apabila ada penyampai yang akan bekerja di rumah dan akan ada seorang penyampai mengawal di konti.

“Bagi peringkat permulaan ini, proses ke udara dibuat melalui telefon, namun untuk masa mendatang mungkin kami akan ke udara seperti aplikasi Skype. Menghubungkan ketiga-ketiga penyampai menerusi satu rakaman video dan pendengar boleh turut menonton kami.

“Langkah ini dibuat bagi mengawal pergerakan kita selain bekerja dari rumah bagi mengekang wabak Covid-19 ini,” katanya.

Menurut Fizi, walaupun cara sebegitu dilihat unik namun masih ada cabaran yang perlu mereka hadapi ketika bersiaran secara langsung.

“Selalunya kami perlu bertentang mata untuk memberikan isyarat giliran siapa yang akan bercakap dan bertindak tapi kali ini cabarannya sedikit berbeza.

“Malah ada juga beberapa kesukaran lain tapi saya anggap ini adalah pengalaman baru buat kami yang bekerja dalam bidang penyiaran radio,” katanya.

Mengakui seronok sepanjang bergandingan bersama Issey dan Ajak, Fizi berkata, kerjasama mereka dilihat antara yang terbaik pernah dia bekerja.

“Setakat ini saya rasa ini antara gandingan yang menarik pernah saya bekerja. Barangkali kami dalam lingkungan umur yang sama.

“Tambahan pula, masing-masing tahu apa yang dalam fikiran untuk disajikan kepada pendengar. Kami sangat serasi bersama,” katanya.

Bakal memasuki tahun keempat bersama Suria FM, Fizi berkata, pengalaman bekerja di stesen radio terbabit adalah sesuatu yang amat berharga kerana dikelilingi orang yang saling menyokong.

“Kontrak saya bersama Suria FM bakal tamat tak lama lagi, namun setakat ini saya dimaklumkan Pengurus Kanan merangkap Ketua Stesen Radio Suria FM, DJ Lin berpuas hati dengan hasil kerja yang kami berikan.

“Kalau boleh sudah tentulah saya nak kontrak saya bersama Suria terus disambung kerana bekerja di Suria banyak peluang dan rezeki saya peroleh.

“Paling utama saya dikelilingi pengurus yang faham dengan cara kerja kami kerana DJ Lin juga seorang penyampai radio,” katanya.

FIZI perlu bergilir bekerja di pejabat dan rumah untuk segmen Team Pagi Suria.
FIZI perlu bergilir bekerja di pejabat dan rumah untuk segmen Team Pagi Suria.