PROJEK khas syarikat rakaman Universal Music Malaysia menerusi Konsert #JANGANKELUAR yang berlangsung menerusi platform digital YouTube disambut baik peminat apabila berjaya mencatat lebih 2,000 tontonan.

Konsert membariskan 13 artis bermula jam 4 petang sehingga 7 malam itu diselaraskan bersama penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang terlebih dahulu membuat live di Platform YouTube miliknya, Siti Offical Video bermula jam 2.30 petang sehingga 4 petang dengan tontonan 3,000 peminat.

Konsert #JANGANKELUAR membariskan artis seperti Shalma Eliana, Yonnyboii, Alvin Chong, Bella Astillah, Luca Sickta, Kmy Kmo, Kowachee, Rabbit Mac, Dolla, Hafiz Hamidun, ASYRFNSIR dan Siqma.

Turut dipersembahkan juga pada konsert itu lagu baharu berentak hip hop berjudul #JANGANKELUAR.

Kesemua penyanyi terbabit melakukan rakaman di rumah dan tempat sendiri sebelum digabungkan menjadi sebuah lagu.

Selain tujuan berhibur, konsert ini juga mengutip sumbangan daripada peminat untuk disalurkan pada dana Peduli, Kemanusiaan, Prihatin (PKP) Siti Nurhaliza yang dilancarkan seja lima hari lalu.

Sehubungan itu, jumlah keseluruhan yang berjaya dikumpul menerusi kedua-dua program secara langsung di YouTube tu sebanyak RM86,000.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan