PENYANYI Wani Kayrie, 20, tidak mahu memadam video tarian di aplikasi TikTok yang dimuat naik di Instagram menyebabkan dia dikecam teruk warganet, baru-baru ini.

Wani berkata, tiada sebab untuk dia memadam video itu hanya kerana dikecam warganet dengan pelbagai komen negatif.

“Setiap orang berhak memberi komen. Namun, kebanyakan komen itu penggunaan bahasanya kasar dan kesat. Kebanyakannya menggunakan akaun palsu dan bukan pengikut saya di Instagram. Saya juga kesal kerana mereka juga mencaci ibu bapa saya,” katanya.

Wani atau nama sebenarnya, Syazwani Abdullah berkata, tujuannya berkongsi video tarian itu adalah untuk mempromosi satu jenama produk pakaian dan kasut. Tak sangka pula dia dikecam teruk.

Wani berkata, dia membiarkan saja setiap komen pedas dan kesat ditulis itu kerana mahu warganet lain menilai.

“Ada juga komen yang saya balas dengan mengucapkan terima kasih kerana memberi teguran. Kalau tak puas hati pun sepatutnya mereka boleh menghantar mesej peribadi (DM) terus kepada saya.

“Lagipun, saya hanya menari mengikut video TikTok dan pakaian juga biasa saja. Tak ketat atau seksi hingga boleh menimbulkan isu dan perlu dikecam teruk,” katanya.

Wany berkata, dia enggan menjadi mangsa buli siber yang boleh mengganggu emosi dan menasihatkan pengikutnya serta warganet lain supaya menjaga sensitiviti dan beradab apabila menulis komen.

Wani berkata, dia juga tidak mahu menyekat akaun individu yang melemparkan kritikan pedas dan kecaman selagi didapati tidak keterlaluan dan melampaui batas.

Video itu mencatat lebih 400,000 tontonan dan lebih 600 komen yang kebanyakannya berbaur kecaman.