DRAMA Korban Kasih disiarkan RTM sempena Ramadan ini mencuri perhatian warganet apabila watak remaja sekolah masih dilakonkan beberapa pelakon yang jelas sudah berusia dan matang.

Justeru, ada segelintir warganet mempersoalkan mengapa watak remaja sekolah itu tidak dilakonkan pelakon lebih muda atau masih sesuai dengan imej pelajar.

Pelakon watak Fatimah dalam drama itu, Zara Zya, 35, berkata apa yang dilakonkannya bersama beberapa pelakon lain kerana tuntutan watak mereka.

“Sebagai pelakon, saya hanya bawakan watak itu mengikut kehendak pengarah dan jalan cerita. Apatah lagi, drama Korban Kasih diadaptasi daripada novel.

“Mengikut novelnya, ada banyak sekuel dalam cerita itu bermula dari zaman sekolah, bekerja dan seterusnya berkahwin. Drama ini juga lebih menjurus pada kisah keluarga,” katanya.

Mengulas kritikan warganet, Zara berkata dia tahu mengenainya kerana hangat dibincangkan di Twitter. Bagaimanapun, ujarnya walau hebat dikritik, drama itu tetap ‘trending’ setiap episod.

“Biarpun ramai yang kritik mengenai watak pelajar sekolah itu, tapi tarik perhatian juga. Saya percaya penonton berminat dengan drama ini kerana kekuatan jalan cerita.

“Drama ini diadaptasi daripada karya novel lama yang memiliki ramai pengikut. Cuma, apabila divisualkan kepada penonton, ia ada cabaran tersendiri,” katanya.

Zara berkata apapun bukan mudah untuknya melakonkan watak pelajar sekolah. Apatah lagi, membabitkan banyak babak sehingga berbelas episod.

Bagi pelakon Azrel Ismail pula, dia sebenarnya kekok nak melakonkan watak pelajar sekolah itu kerana sudah terlalu lama meninggalkan alam persekolahan.

“Satu cabaran besar juga untuk saya melakonkan watak Jamil. Melihat pada kematangan wajah, memang akan dipersoalkan tetapi berdasarkan jalan cerita zaman remaja ke dewasa itu hanya selang beberapa tahun.

“Jadi, tak banyak yang berubah. Malah, untuk mendapatkan pelakon muda yang tidak jauh beza muka bukannya senang. Justeru, sesekali saya bersama beberapa pelakon lain menjadi pelajar sekolah, menarik juga,” katanya.

Drama Korban Kasih sebanyak 30 episod diarahkan Mohd Fazli Yahya turut dibintangi pelakon lain seperti Saharul Ridzwan, Ummi Nazeera, Ezzaty Abdullah, Dynas Mokhtar dan Hasnul Rahmat.