SELEPAS kali pertama bekerjasama dalam lagu Gelora Rindu yang juga menjadi lagu tema drama Ombak Rindu Series, penyanyi, Ezad Lazim dan Idayu sekali lagi berkolaborasi menerusi lagu Sampai Syurga.

Tuah buat Ezad dan Idayu juga apabila lagu ciptaan Ayden Ali, Firdaus Rahmat dan Mas Dewangga serta lirik oleh Arisz Ab Rahman dan D’Hasniza Nordin yang juga penerbit drama itu dipilih menjadi lagu tema drama Korban Kasih yang bersiaran sepanjang Ramadan ini di TV1.

Drama adaptasi novel Korban Kasih karya Fatimah Saidin menampilkan barisan pelakon popular seperti Saharul Ridzwan, Azrel Ismail, Zara Zya, Ummi Nazeera dan Dynas Mokhtar.

Baik Ezad mahupun Idayu, kedua-dua mereka saling memuji selain single terbaru itu meninggalkan memori dan emosi tersendiri buat mereka.

Bagi Ezad Lazim yang juga bekas vokalis kumpulan Exists, peluang berduet sekali lagi dengan Idayu sesuatu yang tidak mahu dilepaskan apatah lagi permintaan syarikat rakaman Nova Music yang mahu mereka kembali bergabung.

“Sebelum ini kami berduet untuk lagu Gelora Rindu. Terbaharu, Sampai Syurga. Perbezaan jelas ada untuk dua lagu ini terutama genre dan susunan muzik. Lagu sebelum ini lebih melankolik yang lembut. Manakala, duet kali ini lebih kepada genre pop balada selain penghayatannya yang lebih dinamik.

“Menerusi duet terdahulu juga saya percaya pihak syarikat rakaman sudah nampak keserasian vokal kami untuk kembali diteruskan kali ini. Saya sendiri selesa berduet dengan Idayu.

“Kami memulakan proses rakaman awal Mac lalu. Lagu ini mengisahkan perhubungan yang sulit dan sukar untuk bahagia. Namun hanya doa kepada Tuhan yang dipanjangkan untuk mendapat kebahagiaan. Kena hayati dan selami maksud lagu ini jika ingin merasai hati yang bergelut itu, katanya.

Mengenai Idayu, Ezad yang sudah lebih sedekad bergerak solo berpendapat penyanyi wanita itu cukup berbakat besar.

“Dia antara penyanyi wanita terbaik di Malaysia yang memiliki vokal yang mantap. Jiwa dan ‘feel’ nyanyiannya cukup tersendiri ketika menyampaikan sesebuah lagu. Jadi, tak hairan bakat dan kemampuan vokalnya diiktiraf apabila dinobat sebagai juara program AF MegaStar 2017.

“Kelebihan yang ada pada dirinya turut dimanfaatkan dengan baik apabila Idayu berkongsi ilmu sebagai guru vokal. Dia juga arif dalam teknik nyanyian bersiul. Suara dimiliki unik dan tidak ada pada mana-mana penyanyi lain di negara ini, katanya.

Sementara itu, Idayu bersyukur kerana lagu duet terbaharu mereka masih mencuri perhatian penerbit drama untuk dijadikan lagu runut bunyi.

Malah, Idayu atau nama sebenarnya, Nur Farah Idayu Yaakob begitu selesa berduet dengan Ezad.

“Apabila lagu seseorang penyanyi itu menjadi lagu runut bunyi atau tema sesebuah naskhah cerita, ia memberi kelebihan promosi berpanjangan kerana lagu itu akan terus kedengaran sepanjang tempoh sesebuah drama itu bersiaran.

“Saya serasi dengan Ezad dan mudah bekerjasama dengannya. Lagu ini juga mempunyai banyak beza dengan lagu duet terdahulu terutama dari segi aspek muzikal. Lagu kali ini rentak baladanya lebih moden dan susun aturnya lebih berskala besar.

“Harapnya lagu ini akan meningkatkan lagi penerimaan peminat terhadap kami sebagai pasangan duet. Proses rakaman lagu ini pun cukup mudah. Cuma ambil masa kurang dua jam. Proses rakaman bahagian saya sendiri ambil masa lebih kurang 40 hingga 45 minit manakala bahagian Ezad pula ambil masa hampir satu jam untuk disiapkan, katanya.

Idayu yang turut menjadi pengajar ‘vocal style’ atau gaya suara sejak lebih dua tahun lalu menyifatkan Ezad seorang yang mementingkan kesempurnaan.

“Jadi tak hairan setiap nyanyiannya seperti suara kaset yang ramai pernah katakan. Tapi, dia juga cukup menyenangkan dalam studio rakaman. Walaupun lebih senior, dia sangat mudah dan terbuka menerima pendapat serta bertukar idea.

“Kami banyak berbincang ketika proses rakaman sebelum mendapat kata sepakat demi menambah baik serta mencantikkan lenggok nyanyian kami dalam lagu ini, katanya.

Single Sampai Syurga boleh distrim di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KK Box dan Deezer.

Sementara video lirik rasmi lagu ini yang dilancarkan semalam boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.