ANNYEONGHASEYO! Berikutan tuduhan mengenai penyelewengan carta terhadap beberapa artis, KEMA buka mulut mewakili penyanyi, Lee Gikwang dan agensinya, Around Us Entertainment yang turut terpalit isu itu.

Tuduhan berkenaan dibuat ahli politik, Kim Geun Tae yang mendakwa pihak pemasaran syarikat terbabit menggunakan akaun rakyat secara terlarang di laman penstriman muzik untuk menaikkan jumlah tontonan dan undian.

Dia menuduh ramai nama terbabit dalam penyelewengan itu termasuk Ko Seung Hyung, GWSN, BADKIZ, BOL4, Song Ha Ye, Young Tak, YOYOMI, So Hyang dan Ali selain Lee Gikwang. Kim Geun Tae turut mendakwa mempunyai bukti dan sedia untuk mendedahkannya.

Pada 13 April lalu, agensi Lee Gikwang mengumumkan mereka sudah memfailkan aduan jenayah terhadap ahli politik terbabit disebabkan percubaan memfitnah. Namun, agensi terbabit menyifatkan tuduhannya tidak berasas.

Kelmarin, KEMA tampil dengan kenyataan tegas bagi mengutarakan isu berkenaan dan mengutuk tindakan Kim Geun Tae.

“Baru-baru ini, ahli politik itu menyebarkan tuduhan palsu dan berkata mahu mendedahkan bukti mengenai penyelewengan digital serta carta muzik itu. Sebaliknya, artis mencapai tahap itu menerusi kesungguhan serta keras mereka.

“Dia jelas ternyata mahu menggunakan pendekatan itu semata-mata untuk agenda politik. Sekali gus, tindakannya tidak munasabah dengan mengabaikan kepercayaan yang dibina artis serta agensi masing-masing selama ini,” kata jurucakapnya.

KEMA juga sudah tidak mahu berdiam diri dan sekadar melihat isu itu diperbesarkan dan berjanji mahu bersungguh-sungguh membela Lee Gikwang.

“Kim Guen Tae sehingga sekarang belum mampu mengemukakan sebarang bukti kukuh mengenai dakwaannya itu. Tuduhannya itu sangat tidak logik dengan menyuruh artis menjelaskan sendiri mengenai penyelewengan itu.

“Lee Gikwang yang turut diheret dalam kes ini sudah bekerja keras lebih 10 tahun untuk memartabatkan budaya dan dunia K-Pop baik secara domestik mahupuan di luar negara. Dia anak muda yang sangat membanggakan dan ada maruah.

“Apabila semua tuduhan palsu itu akhirnya hanya pembohongan semata-mata, kami akan anggap Kim Geun Tae cuba mengambil kesempatan dan mempergunakan selebriti demi mereka isu yang kotor,” demikian kenyataan itu.