PERJUANGAN figura bernama Noraniza Idris dalam memartabatkan budaya, tradisi serta alunan muzik bergenre irama Malaysia dan etnik kreatif sememangnya panjang dan berterusan.

Menempa nama sebagai Ratu Etnik Kreatif, Noraniza atau lebih mesra disapa dengan panggilan Kak Ani kini memberanikan diri bekerjasama dengan penyanyi generasi baru, Bunga Isme menerusi lagu Intan Payung.

Peluang menemubual penyanyi berusia 53 tahun ini memberi ruang kepada RAP bagi mencungkil agenda yang diatur Noraniza melalui kerjasama ini.

“Apabila diberi peluang untuk bekerjasama, saya terbuka untuk menerima perubahan. Industri muzik sekarang sudah berbeza,” katanya.

Menurut Noraniza, perjuangannya satu ketika dulu adalah untuk meletakkan muzik irama Malaysia supaya terus berada di landasannya.

“Kalau dulu, saya berjuang supaya irama Malaysia berada di landasan serta formatnya yang tersendiri. Kini, semuanya berada di hujung jari dan dunia lebih cenderung kepada media sosial sebagai platform.

KAK Ani mahu dekati peminat muda melalui perubahan muzik.
KAK Ani mahu dekati peminat muda melalui perubahan muzik.

“Saya akui, sukar untuk membawa muzik berelemen budaya menembusi pasaran muzik semasa sekiranya saya tidak melakukan sedikit perubahan,” katanya.

Menurut Noraniza yang popular dengan lagu-lagu seperti Dikir Puteri dan Nganjat Tampi, kerjasama dengan Bunga juga secara tak langsung akan mampu menarik perhatian pendengar dalam kalangan generasi muda.

“Saya rasa, kerjasama ini secara tak langsung dapat membawa muzik dan budaya kita kepada satu kelompok pendengar yang berbeza.

“Kalau sebelum ini, ada dalam kalangan generasi muda tak kenal saya, tapi melalui Bunga, saya dapat menarik minat generasi muda untuk mendekati genre muzik ini,” katanya.

Selain itu, Noraniza juga mengakui bahawa Bunga adalah penulis lagu dan penyanyi rap yang berbakat besar.

“Bunga adalah penulis lagu yang bagus dan itu menjadikan lagu ini sebagai karya yang kuat. Dengan adanya kekuatan bukan saja dalam melodi, tetapi juga lirik, tak mustahil lagu ini boleh dipertandingkan di pentas besar,” katanya.