JURUKAMERA drama Demi, Ambia Ahmad, 48, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh (HSB) akibat jangkitan Covid-19 mula sedarkan diri, semalam.

Ambia dibawa ke HSB sebaik tiba di tanah air selepas pulang dari menjalani penggambaran drama berkenaan di Inverness, Scotland pada 31 Mac lalu.

Isterinya, Nurshazreen Zulkefli, 32, ketika dihubungi berkata, keadaan kesihatan suaminya stabil namun paru-paru masih lemah.

“Suami baru sedarkan diri semalam dan tiub dicabut. Tapi, hari ini terpaksa dipasang semula kerana paru-paru masih lemah.

“Kali terakhir saya berjumpa suami pada 8 Mac iaitu sehari sebelum mereka bertolak ke Scotland,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nurshazree, dia maklum mengenai keadaan Ambia yang demam sejak berada di sana lagi.

Malah, Nurshazreen mendakwa suaminya tidak pernah mengalami demam seteruk itu.

“Saya tahu yang dia demam. Dia ada ’voice call’ saya setiap hari. Sebelum demam, dia ada maklumkan hampir semua kru terbabit demam secara ‘on off‘.

“Cuma saya terkilan kenapa masih tak ambil keputusan balik seawal mungkin. Kenapa masih  berada di sana dan teruskan penggambaran? Seingat saya ada dalam hampir seminggu lebih dia demam di sana.

“Dia bukan demam biasa sebab dia hingga tak larat nak bangun. Dia tidak pernah demam seteruk itu. Saya pun sudah beri amaran dia mengenai simptom Covid-19 itu sudah ada pada mereka,” katanya.

Nurshazreen turut dimaklumkan, selain demam suaminya juga turut mengalami muntah. Ada yang maklumkan baru-baru ini yang mana suaminya mengalami muntah sepanjang dia demam,” katanya.

 Ditanya sama ada pihak produksi ada menghubunginya, Nurshazreen berkata, penerbit iaitu Datin Mahfuzah Zakkiah tampil menghulurkan bantuan.

“Jurusolek dan pengurus produksi ada bertanya mengenai keadaan semasa suami. Datin pula ada memberikan sumbangan peribadi,” katanya.

Ambia mempunyai dua anak berusia empat dan dua tahun.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lima kru,  dua pelakon dan ibu kepada pelakon disahkan positif Covid-19.

Kesemua mereka seramai 18 orang yang tiba di tanah air pada 31 Mac lalu diarahkan menjalani kuarantin diri di tempat masing-masing tanpa membabitkan orang lain atau ahli keluarga.

Mereka berlepas ke Scotland pada 9 Mac lalu iaitu sebelum peningkatan kes Covid-19 kes dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

 

Pelakon yang membintangi drama itu terdiri daripada Puteri Aishah, Ashraf Muslim, Ben Amir, Hasnul Rahmat dan Puteri Rayyana Rayqa.

 

  • Lagi berita berkaitan Covid-19