SENTUHAN anggota kumpulan Gerhana Ska Cinta (GSC), Edy J Herwan begitu ditagih band baru yang dikenali sebagai JBossReggae.

Edy J Herwan yang juga antara ‘otai’ dalam genre ska dalam industri muzik tanah air bertanggungjawab memberikan nama band ini sebagai Junior Boss Reggae atau singkatannya JBossReggae.

Kumpulan yang mula bertapak di Seremban ini dianggotai Topek (penyanyi), Kechiks (pemain organ dan penyanyi latar), Amy (gitar), Sam (bass) dan Redza (dram).

Kechiks berkata, reggae kebiasaannya sinonim dengan Bob Marley, namun mereka tampil dengan kelainan tersendiri.

“Muzik kami bergenre skinhead reggae, boss reggae, early reggae, dirty reggae, ska dan rocksteady yang juga antara cabang-cabang dalam keluarga reggae.

“JBossReggae sudah menghasilkan EP memuatkan lima lagu yang dipasarkan pada April 2018 di bawah syarikat rakaman NYARING Record yang dibantu sepenuhnya oleh Naz daripada kumpulan Plague Of Happiness.

“Lagu-lagunya ialah Blind World, Holiday, Skinhead Reggae, Nanti Suatu Hari dan When You,” katanya.

Lagu When You yang menjadi titik permulaan bagi mereka yang dirakamkan bersama Edy J Herwan di studio Bakri GSC pada 2015 sebelum meneruskannya dengan lagu lain. “Kami dalam proses merakamkan album terbaharu juga bersama NYARING Record.

“Setakat ini kami sering diundang bermain di seluruh pelosok Semenanjung Malaysia selain di Singapura, Bali dan Batam, Indonesia.

“Kami akui agak sukar untuk dapat peluang buat persembahan yang meluas di negara kita kerana peminat reggae amat sedikit,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan persembahan yang disertai hanya membabitkan kalangan pemuzik reggae sahaja.

“Bukannya kami tak nak keluar bercampur dengan yang lain-lain, tapi kami tak selalu diberi peluang. Saya pernah berkesempatan berbual bersama Joe, anggota kumpulan Purevibracion dan pendapatnya pun sama.

“Ia amat berbeza dengan negara-negara jiran di mana apa sahaja genre muzik akan disokong ramai peminat. Pengalaman ini kami lalui sendiri ketika buat persembahan di sana,” katanya.

KL Reggae Party anjuran Laguna Music & GreenHouse Studio yang berlangsung di KYO Kuala Lumpur pada akhir tahun lalu adalah acara yang dianggap besar bagi pemuzik reggae tempatan.

JBossReggae antara kumpulan yang beraksi bersama KAYA, Purevibracion dan Rosewood yang diiringi barisan DJ seperti ALIJO, BERUK 45’s, Jahvalian & Aru Peruzza dan Ronggeng Dub Station.

Peminat boleh mengikuti perkembangan mereka di Instagram jbossreggae dan Facebook JBossReggae.